KUALA LUMPUR – Mahkamah Rayuan Paris membatalkan keseluruhan Award Akhir sebanyak AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) yang diberikan oleh penimbang tara Sepanyol, Dr. Gonzalo Stampa dalam tuntutan difailkan kumpulan Sulu.
Dalam keputusan yang dicapai semalam, mahkamah itu turut mengarahkan kumpulan yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu membayar kos EUR200,000 kepada Kerajaan Malaysia.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Bilik Operasi Sekretariat Khas Sulu hari ini, Mahkamah Rayuan Paris membatalkan Award Akhir yang diberikan oleh Gonzalo pada 28 Februari 2022 selepas membenarkan permohonan kerajaan.
Menurut kenyataan itu, Kerajaan Malaysia telah menerima penghakiman tersebut malam tadi.
Dalam keputusannya, mahkamah mengesahkan Gonzalo tidak mempunyai bidang kuasa untuk memberikan Award Akhir itu kerana tiada perjanjian timbang tara yang sah mengikat Malaysia.
“Malaysia percaya bahawa kemenangan ini akan menamatkan semua percubaan tidak berasas daripada kumpulan yang menggelar diri sebagai penuntut Sulu (dan pembiaya litigasi mereka, Therium) untuk memeras wang dan aset daripada rakyat negara ini.
“Walau apa pun, Malaysia bersedia untuk meneruskan perjuangannya di hadapan mana-mana mahkamah yang dikemukakan kumpuan tersebut,” demikian menurut kenyataan tersebut.
Kerajaan Malaysia menegaskan, komitmennya yang tidak berbelah bahagi untuk mempertahankan kedaulatan, imuniti dan kepentingan negara terhadap tuntutan tidak berasas
dibuat oleh kumpulan berkenaan.
Pada 19 Julai lalu, Mahkamah Rayuan Paris menangguhkan keputusan dan menetapkan semalam bagi menentukan permohonan Malaysia untuk membatalkan Award Akhir sebanyak AS$14.9 bilion yang dikeluarkan oleh timbang tara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dalam kenyataan berkata, keputusan ditangguhkan selepas mahkamah selesai mendengar merit permohonan kerajaan.
Pada 6 Jun 2023, Mahkamah Rayuan Paris telah menolak pengiktirafan dan penguatkuasaan yang dikatakan Award Separa yang dikeluarkan oleh Gonzalo pada 25 Mei 2020 atas alasan yang sama.
Seterusnya, pada 6 November 2024, Mahkamah Tinggi Perancis menolak sepenuhnya cabaran yang difailkan oleh pihak yang dipanggil penuntut Sulu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan Paris.
Pada 28 Februari 2022, Gonzalo membuat keputusan yang memihak kepada kumpulan itu dan mengeluarkan Award Akhir sebanyak AS$14.9 bilion.
Namun award itu merupakan hasil daripada timbang tara yang tidak sah kerana pelantikan beliau sebagai penimbang tara telah dibatalkan terlebih dahulu oleh Mahkamah Tinggi Keadilan Madrid pada 2021. – MalaysiaGazette
















