Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, pada sidang media berkaitan Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2026-2035 di Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 10 DISEMBER 2025

PUTRAJAYA – Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2026–2035 akan dilancarkan tahun hadapan sebagai hala tuju baharu sektor pendidikan tinggi negara bagi tempoh satu dekad.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Kadir berkata, pelan tersebut dirangka sebagai dokumen dinamik atau living document yang berpaksikan kemanusiaan sebagai teras strategik.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, pada sidang media berkaitan Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2026-2035 di Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 10 DISEMBER 2025

 

Jelas beliau, KPT,  melalui pelan itu akan memastikan pendidikan tinggi berjaya melahirkan pembina negara yang berpaksikan kemanusiaan, kesejahteraan holistik, kemakmuran bersama dan berdaya tahan demi menerajui kemampanan.

Kemajuan teknologi mesti berjalan seiring dengan pembinaan nilai kemanusiaan. Justeru, PPTM turut memberi penekanan kepada nilai moral, etika, integriti dan adab keilmuan yang bersifat universal dan selari dengan konteks Malaysia sebagai negara majmuk,” katanya ketika sidang media mengenai PPTM 2026-2035 hari ini.

Menurut Zambry, pelan berkenaan akan menjadikan Kecerdasan Buatan (AI) sebagai pemboleh upaya utama seiring dengan keperluan teknologi terkini.

“Penekanan akan diberikan kepada pembangunan kurikulum dan program akademik, penyelidikan dan inovasi dalam bidang AI. Penyediaan bakat dan profesional AI tempatan, integrasi teknologi AI dalam pengajaran, pembelajaran dan pentadbiran Pendidikan tinggi,” tambah beliau.

PPTM juga menekankan peningkatan akses yang inklusif ke Institut Pengajian Tinggi (IPT)  bagi pelajar lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan matrikulasi.

Terdahulu, beliau memaklumkan pelan itu dijangka akan dirasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada minggu kedua Januari depan.

Selain itu, Zambry berkata, pelan pendidikan tinggi baharu itu juga mengutamakan pembangunan pembelajar yang multilingual dan berkompetensi global di samping memperkasakan penguasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

“Bahasa Inggeris terus diperkasa sebagai bahasa perantaraan global, perluasan penawaran bahasa seperti Bahasa Cina, Tamil, Arab dan bahasa-bahasa suku, pemerkasaan Bahasa Melayu di rantau ASEAN melalui kerjasama bersama Indonesia dan Brunei,” ujarnya lagi.

PPTM itu kelak menetapkan matlamat menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan serantau.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, PPTM 2026-2035  tidak statik kerana akan disemak pelaksanaannya selain diperkemas secara berkala.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast