Gambar ihsan Tentera Darat.

KUALA LUMPUR – Tentera Darat berjaya menyekat penyeludupan masuk dadah dari negara jiran yang dianggarkan bernilai RM10.923 juta dan merupakan jumlah terbesar penahanan barangan seludup sepanjang tahun ini.

Operasi pukul 4.30 pagi pada 9 Disember lalu oleh Kumpulan SERKAP yang diketuai oleh Kapten Muhammad Zulharif Abdul Rahim telah menahan seorang orang awam (lelaki) warga negara Thailand yang dalam keadaan mencurigakan di lokasi 1.2 kilometer dari Kem Sahara, Kuala Nerang Kedah.

Pemeriksaan terhadap lelaki tersebut menjumpai beberapa peralatan iaitu sebuah walkie talkie, sebilah parang, satu beg pinggang dan lampu suluh.

Susulan penahanan tersebut Kumpulan SERKAP telah melakukan pemeriksaan lanjutan pukul 7 pagi setelah keadaan cerah dengan menggeledah sepanjang jalan yang dilalui oleh orang awam berkenaan dan berjaya menjumpai sembilan guni yang mengandungi bungkusan kecil seperti peket beras.

Gambar ihsan Tentera Darat.

“Hasil siasatan lanjut mendapati bungkusan tersebut merupakan ketulan dan serbuk kristal disyaki dadah jenis methamphetamine sebanyak 331 bungkus dengan berat satu kilogram bernilai RM33, 000 bagi setiap peket.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM10.923 juta,” kata kenyataan Sel Perhubungan Raya Tentera Darat hari ini.

Setelah semua prosedur diambil, orang awam tersebut berserta barang rampasan telah diserahkan kepada IPD Padang Terap pada petang hari yang sama. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast