Gambar : Orang awam

KUANTAN – Padah menunggang motosikal secara lawan arus, seorang lelaki maut selepas bertembung dengan sebuah kereta di Jambatan Putra, Tanjung Lumpur di sini hari ini.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Mohd Adli Mat Daud, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 2.10 petang tadi.

Kemalangan membabitkan sebuah motosikal jenis Yamaha Ego Solaris dengan kereta jenis Perodua Axia dipandu seorang guru Maahad Tahfiz Pahang.

“Siasatan awal mendapati, kereta dipandu guru wanita berusia 26 tahun itu dalam perjalanan dari arah bandar Kuantan menuju ke Tanjung Lumpur.

“Ketika sampai di lokasi kejadian, semasa memandu di lorong kanan, tiba-tiba datang sebuah motosikal yang melawan aliran trafik dari arah hadapan dan melanggarnya,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Mohd Adli, akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal berkenaan tercampak ke atas permukaan jalan arah bertentangan dan mengakibatkan mangsa bernama Muhammad Jazman Ahmad, 20 disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Beliau berkata, pemandu kereta terlibat tidak mengalami kecederaan dan mayat mangsa dihantar di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat.

Kes masih disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast