KUALA LUMPUR – Seramai 14 Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak menafikan mereka mendesak supaya Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan.

Mereka berkata, tindakan mengadakan sidang media oleh sekumpulan kecil yang diketuai Ketua Bersatu Pasir Salak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin semalam tidak mewakili pendirian rasmi kepimpinan Bersatu Perak.

“Semakan mendapati sidang media itu hanya dihadiri oleh sembilan Ketua Bahagian manakala selebihnya adalah ahli biasa yang tidak memegang jawatan utama.

“Kehadiran mereka tidak boleh ditafsirkan sebagai pendirian kolektif Bersatu Perak.

“Tindakan Zainol Fadzi dan kumpulannya itu adalah percubaan yang tidak sah dan mengelirukan,” menurut kenyataan bersama yang turut ditandatangani Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang merupakan Ketua Bahagian Tambun..

Kenyataan sokongan padu kepada kepimpinan Muhyiddin itu turut disokong oleh 13 Ketua Bahagian lain, antaranya Mohader Ahmad Ayob yang merupakan Ketua Bahagian Batu Gajah dan Iskandar Abdul Rahman (Ipoh Barat), Azhar Anuar (Bagan Datuk).

Mereka mengutuk tindakan Zainol Fadzi yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu kerana memilih untuk membawa isu dalaman parti ke khalayak umum.

“Tindakan membawa isu parti melalui sidang media terbuka adalah tidak wajar, mencetuskan kekeliruan dalam kalangan akar umbi dan bercanggah dengan disiplin parti.

“Tindakan membawa isu parti ke ruang awam melalui sidang media terbuka adalah tidak wajar, mencetuskan kekeliruan dalam kalangan ahli akar umbi dan bercanggah dengan disiplin Bersatu,” kata kenyataan itu lagi.

Semalam, Zainol Fadzi dalam sidang media secara terbuka mendesak agar Muhyiddin berundur dan mendakwa kegagalan Presiden menangani kemelut dalaman parti dengan pantas.

Kemelut dalaman ini berakar umbi sejak Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu September lalu susulan isu ‘surat layang’ yang mendakwa wujud usaha menjatuhkan Muhyiddin serta pencalonan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri ke-11.

Tidak hanya itu, pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan penggantungan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal serta Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang dipanggil Lembaga Disiplin untuk siasatan dilihat dibuat dalam keadaan tergesa-gesa.

Pada masa sama, kekalahan teruk Bersatu di semua 33 kerusi yang ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 lalu termasuk kekalahan Naib Presiden Datuk Seri Ronald Kiandee dilihat memburukkan lagi pergolakan sedia ada. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast