KUALA LUMPUR – Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) telah melaksanakan operasi penguatkuasaan paling komprehensif dengan menutup 3,634 tapak sampah haram di tujuh buah negeri sehingga Oktober tahun ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, dalam masa yang sama perbadanan tersebut membersihkan 1,530 tan sisa pepejal melibatkan kos sebanyak RM406,500.
Jelasnya, penguatkuasaan tersebut dilakukan melalui 4,268 operasi risikan.
“Sebanyak 22 kes pembuangan haram berjaya dibawa ke mahkamah dengan jumlah denda RM385,000,” katanya ketika berucap di Program Sentuhan Kejayaan KPKT: Operasi Pembasmian Dan Penutupan Tapak Sampah Haram 2025 di Jalan Awan Cina, Taman Yarl, hari ini.
Selain itu tambah beliau, SWCorp juga telah melaksanakan 185 sitaan kenderaan yang terlibat dengan aktiviti pembuangan sampah haram termasuk 23 kenderaan, bagi tempoh yang sama.
Malah katanya, SWCorp turut mengambil langkah memperketatkan tindakan punitif dengan mengemukakan permohonan kepada mahkamah bagi mendapatkan perintah pelucuthakan terhadap kenderaan yang telah disita mengikut keperluan kes.
“Keberhasilan operasi ini membuktikan bahawa tindakan bersepadu, risikan strategik serta penggunaan teknologi mampu memberi impak besar dalam membanteras isu pembuangan sampah haram secara menyeluruh,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, SWCorp turut memainkan peranan penting dalam membantu operasi pembersihan pasca bencana.
Ujarnya, sebagai tindakan SWCorp telah menggerakkan syarikat konsesi untuk melaksanakan operasi pembersihan pasca
banjir melibatkan 928 anggota kerja dan 304 unit jentera yang berjaya melupus 1,156.57 tan sisa pasca banjir.
“Pada bulan lalu, Monsun Timur Laut serta Ribut Tropika Senyar telah mengakibatkan banjir di negeri-negeri pelaksana Akta 672 termasuk Perlis, Kedah, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka.
“Keupayaan ini membuktikan kesiapsiagaan SWCorp dalam menangani situasi kecemasan, sekali gus memastikan kawasan terjejas dapat dipulihkan dengan cepat, teratur dan berkesan,” tambah beliau.
Kor Ming menyifatkan kejayaan SWCorp dalam menangani isu sisa pepejal dan pasca banjir membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam menangani isu pembuangan sampah haram melalui tindakan yang lebih tegas, sistematik dan bersepadu di seluruh negara.
“Ia juga menunjukkan bahawa reformasi penguatkuasaan, pendekatan pencegahan serta tindakan proaktif yang dilaksana
secara konsisten mampu menghasilkan impak besar terhadap kelestarian persekitaran dan kesejahteraan rakyat,” jelasnya.-MalaysiaGazette
















