Bertemakan “Journalist’s Lens: Unspoken Stories from Community”, kolokium kali ini memberi tumpuan kepada naratif komuniti yang sering terpinggir dalam arus media perdana.

KUALA LUMPUR – Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam terus memperkukuh pendidikan kewartawanan melalui penganjuran e-Kolokium Kewartawanan ke-52.

Program yang dijalankan secara maya di platform YouTube Journalism Colloqium itu menekankan kepentingan wartawan muda yang peka terhadap isu sosial, beretika dan mampu menghasilkan laporan berfokus komuniti.

Bertemakan Journalist’s Lens: Unspoken Stories from Community kolokium kali ini memberi tumpuan kepada naratif komuniti yang sering terpinggir dalam arus media perdana.

Dua panel jemputan yang tidak asing dalam dunia kewartawanan tempatan iaitu Pengarang Sinar Harian, Junhairi Alyasa dan Wartawan Multimedia Media Prima, Fareez Azman telah berkongsi pengalaman dan pandangan mereka.

pProgram dimoderator oleh wartawan penyiaran dan Penyampai Berita Astro Awani, Farhan Hakimi.

Panel jemputan, Fareez berkata, tema program dekat dengan dirinya sebagai pengamal media kerana ia mencerminkan pelbagai kisah yang perlu dilaporkan, sama ada di peringkat lokal mahupun nasional.

“Ia mengimbas kembali banyak perkara yang pernah saya lakukan termasuk kisah tentang golongan susah di kawasan pedalaman, penyakit pelik, isu kanak-kanak tanpa kewarganegaraan serta persoalan masyarakat mengapa Rohingya menjadikan Malaysia lokasi utama dan mengapa semakin ramai masyarakat berdepan masalah kesihatan mental.

“Apabila kita masuk ke niche yang lebih mendalam, setiap perkara membawa kepada unspoken stories yang lebih besar. Rakyat Malaysia khususnya di kawasan pedalaman memiliki kisah yang mencabar wartawan untuk mengubah sesuatu yang tidak diketahui kepada diketahui dengan matlamat membantu masyarakat,” katanya.

Jelasnya, sebagai seorang pengamal media, elemen penting dalam sesebuah cerita adalah kewujudan isu atau konflik yang memerlukan penyelesaian.

Fareez menambah, wartawan merupakan mata dan telinga masyarakat, satu amanah besar yang mendorong kita untuk terus kekal dalam industri ini. Minat yang mendalam sangat penting kerana untuk menjadi wartawan yang baik, semangat dan kesungguhan terhadap bidang ini adalah kunci utama.

Tambahnya lagi, masyarakat kini lebih tertarik dengan penyampaian berita yang ringkas, santai namun padat dengan maklumat.

Dalam pada itu, panel jemputan kedua, Junhairi pula berkata, untuk menentukan keutamaan sesuatu berita, elemen human interest perlu diberi perhatian diikuti dengan berita yang memberi impak kepada masyarakat dan akhirnya berita berkaitan isu masyarakat.

“Seorang wartawan mesti menjaga integriti dengan mematuhi garis panduan penulisan yang ditetapkan termasuk Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Kanak-kanak, Akta Komunikasi dan Multimedia dan Akta Fitnah.

“Wartawan perlu banyak membaca serta sentiasa peka dan memahami sesuatu isu semasa. Asas kewartawanan juga perlu kukuh antaranya memahami sudut (angle) berita, gaya penulisan mengikut penerbitan (house style) serta memiliki pengetahuan am yang luas sebelum menulis sesuatu laporan.

“Wartawan juga perlu membuat kajian terlebih dahulu sebelum menulis sesuatu berita. Semua ini akan sangat membantu dalam menghasilkan laporan yang tepat dan berkualiti,” katanya.

Penggunaan Artificial Intelligence (AI) perlu dilakukan dengan berhati-hati untuk memastikan teknologi dimanfaatkan secara optimum.

Bagi Dekan FKPM, Profesor Madya Dr Abd Rasid Abd Rahman, program berkenaan bukan sahaja menghubungkan wacana ilmiah dengan keperluan industri malah mencerminkan nilai teras kewartawanan.

“e-Kolokium ini berfungsi sebagai platform untuk pelajar tahun akhir membentangkan dan meraikan hasil kerja akademik mereka. Ia juga menjadi ruang di mana teori bertemu keperluan industri, menandakan bukan sahaja tamatnya perjalanan akademik tetapi juga permulaan sumbangan profesional mereka dalam bidang kewartawanan,” jelas beliau.

Sementara itu, Ketua Projek e-Kolokium Kewartawanan, Haikal Mohd Nor Azmi berkata, tema program kali ini mencerminkan komitmen pelajar untuk mengangkat kisah-kisah penting yang sering terpinggir tetapi memberi impak besar kepada masyarakat.

“Bagi pelajar tahun akhir, e-Kolokium ini bukan sekadar projek. Ia kemuncak perjalanan pembelajaran kami, di mana teori bertemu praktikal dan kami menguji kemampuan untuk berfikir kritikal, beretika, serta berempati sebagai wartawan masa hadapan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast