KUANTAN – Wang simpanan lebih RM160,000 milik seorang guru wanita lesap selepas ‘membayar’ wang ikat jamin kepada Bank Negara Malaysia (BNM) kononnya bagi membuktikan akaunnya bersih daripada kegiatan jenayah.
Menurut Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin, pada mulanya, mangsa berusia 49 tahun itu menerima panggilan telefon daripada pihak Touch n Go (TNG) pada 25 November lepas kerana mendakwa akaun milik mangsa telah disalahguna pihak tidak bertanggungjawab.
“Panggilan itu kemudian disambungkan kepada pegawai polis yang menyatakan akaun bank mangsa telah terlibat dengan pengubahan wang haram dan kegiatan dadah.
“Mangsa juga dimaklumkan mempunyai dua waran tangkap kerana terlibat dengan aktiviti menjual akaun bank kepada sindiket penggubahan wang haram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Zaidi berkata, mangsa telah diarahkan membayar wang ikat jamin kepada BNM untuk membuktikan dana wangnya adalah bersih daripada kegiatan jenayah tersebut.
Mangsa yang panik kemudiannya akur dan membuat pemindahan wang simpanannya secara berperingkat sebanyak tiga kali ke dalam akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM165,800.
“Bagaimanapun, mangsa mengesyaki telah ditipu setelah tiada wang lagi untuk membuat bayaran dan terus membuat laporan polis,” tambahnya.
Justeru, beliau menasihati orang ramai agar membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkaitan terlebih dahulu jika menerima panggilan yang meragukan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan. – MalaysiaGazette
















