KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman menegaskan perbahasan mengenai pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) perlu dilakukan secara berhemah tanpa dipolitikkan oleh mana-mana pihak.
Beliau berkata, isu berkenaan bukan perkara baharu kerana ia sudah menjadi antara janji manifesto Pakatan Harapan (PH) sejak 2018 dan turut dibangkitkan pada Pilihan Raya Umum ke-15.
“Kita wajar membincangkannya secara berhemah dan tidak mempolitikkannya. Sudah tentu saya mendukung kepentingan sistem pendidikan kebangsaan yang bukan sahaja mementingkan kecemerlangan akademik malah membentuk sahsiah dan perpaduan negara,” katanya yang lebih dikenali sebagai Rara.
Young Syefura menegaskan beliau mendukung kepentingan sistem pendidikan kebangsaan yang menekankan kecemerlangan akademik, pembentukan sahsiah serta perpaduan negara.
Bagaimanapun, negara sepatutnya memberikan pilihan kepada warganya untuk menentukan jalur pendidikan demi masa depan anak-anak masing-masing.
“Setakat ini, selain SPM, sijil O-level dan juga IGCSE turut diiktiraf untuk kemasukan ke universiti awam mahupun swasta yang mana kedua-duanya menggunakan kata pengantar Bahasa Inggeris.
“Untuk UEC pula, saya bersetuju pengiktirafan mestilah disertakan dengan syarat mendapat kepujian dalam subjek BM dan Sejarah di peringkat SPM. Malah saya dimaklumkan ramai pelajar UEC yang turut mengambil semua subjek SPM dan mendapat semua A,” katanya lagi.
Menurutnya, UEC sama seperti O-Level dan IGCSE kerana ia merupakan sijil kelayakan yang diterima di peringkat antarabangsa.
“Antaranya ialah Oxford University, University of Cambridge, Australian National University, Kyoto University, California Institute of Technology dan Peking University,” katanya.
Sehubungan itu, Young Syefura menegaskan, pelajar cemerlang tidak wajar disekat daripada mendapatkan laluan pendidikan yang diiktiraf dalam dan luar negara.
Malah beliau berharap sebarang perbincangan mengenai isu tersebut tidak dipengaruhi sentimen perkauman yang merugikan masa depan generasi muda.
“Kita tidak sepatutnya menghalang pelajar-pelajar kita yang cemerlang tidak kira latar belakang kaum dan agama,” tegasnya lagi.
Media sebelum ini melaporkan kenyataan Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming yang mahu mengadakan pertemuan dengan perdana menteri bagi membincangkan isu pengiktirafan UEC.
Kor Ming juga mengulang pendirian DAP dalam usaha tersebut dan meminta masyarakat Cina supaya bersabar dan jangan khuatir.
Menurutnya, DAP telah mendengar suara masyarakat Cina dan akan menyemak diri secara rendah hati supaya negara terus maju. – MalaysiaGazette
















