KUALA LUMPUR – Seramai 91 usahawan wanita tempatan mendapat pendedahan baharu dalam pemasaran digital menerusi Projek Kampung Xpress 2025 anjuran Universiti Malaya (UM) melalui program UM CARES di Pusat Latihan Pegawai Penjara, Taiping.
Program itu memberi fokus kepada kemahiran menghasilkan kandungan berkesan untuk platform seperti Facebook, TikTok dan WhatsApp, termasuk teknik penggambaran, rakaman video produk serta penulisan kapsyen menarik bagi membantu peserta mempromosikan perniagaan dengan lebih profesional.
Kursus berkenaan diketuai pengiring, Dr. Muhamad Shamsul bin Ibrahim, dengan sokongan 17 pelajar tahun akhir Jabatan Pengajian Media UM sebagai fasilitator. Dr. Ima Liana Esa, Pensyarah Kanan UiTM Shah Alam, hadir sebagai penceramah, manakala Hasnida Hanim Ahmad Kamil, Penyampai Berita dan Editor Sukan TV3, memberikan sesi perkongsian khas.
Penganjuran turut disokong Pengerusi Persatuan NADI Wanita Taiping (PENAWAR), Azizah Abdullah yang membantu menyelaras kehadiran peserta serta keperluan komuniti sepanjang program.
Majlis penutup menyaksikan penyampaian cenderahati kepada semua penceramah dan fasilitator, termasuk Dr. Muhamad Shamsul, Hasnida Hanim dan Dr. Ima Liana Esa. Sr. Nora Mohamad Noor, Pengarah Penilaian dan Harta daerah, turut hadir menyampaikan ucapan penutup.
Program berkenaan memberi peluang kepada usahanita Taiping meningkatkan penguasaan kandungan digital, sekaligus mengukuhkan keupayaan mereka bersaing dalam pasaran yang semakin berorientasikan media sosial. – MalaysiaGazette
















