Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri Bulan Disember 2025 di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 11 DISEMBER 2025.

PUTRAJAYA – Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin diminta mengemukakan bukti berhubung dakwaan kewujudan gerakan kultus dari Korea yang menggunakan nama Jesus.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata, langkah itu diambil bagi membolehkan pihak berkuasa mendapatkan gambaran jelas serta meneliti dakwaan tersebut dan menggerakkan siasatan.

“Tentunya kalau beliau mempunyai maklumat seperti yang disebut, lebih baik beliau tampil supaya kita boleh menguruskannya mengikut jalur hukum.

“Pihak yang menyebut bahawa ada kes seumpama itu mempunyai tanggungjawab untuk memberikan maklumat kepada pihak berkuasa, iaitu polis,” katanya pada sidang media selepas Himpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), hari ini.

Beliau mengulas laporan media memetik Mohd. Asri yang mendedahkan kewujudan satu gerakan kultus dari Korea yang membawa dakwaan janggal serta menyimpang, dan didakwa sedang aktif bergerak di Malaysia.

Sebelum ini, Mufti Perlis itu memaklumkan bahawa taklimat mengenai kultus tersebut telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis.

Beliau turut mempersoalkan penglibatan beberapa Ahli Parlimen muslim dan individu penting Parlimen yang dilihat aktif menyertai serta membantu gerakan tersebut.

Menurut Saifuddin, aliran Kristian arus perdana turut tidak mengiktiraf kumpulan berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast