Anggota bomba mengusung seorang lelaki yang cedera dalam kebakaran rumah untuk dihantar ke Hospital Seberang Jaya.

BUTTERWORTH – Seorang lelaki yang parah dalam kebakaran di Taman Rathna, Telok Air Tawar di sini semalam, dijangka menjalani pembedahan di bahagian kepala hari ini.

Bapanya, Kamarozlan Muhammad, 57, berkata anaknya, Daniel Quyum Kamarozlan, 20-an, kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya bagi pemantauan lanjut.

“Semalam doktor maklumkan keadaan anak saya stabil. Dia masih di ICU dan hanya menunggu untuk buat pembedahan di bahagian kepala,” katanya hari ini.

Mengulas lanjut Kamarozlan berkata, bedah siasat ke atas bekas isterinya serta anak angkat pasangan itu dijadual dijalankan pagi ini di Hospital Kepala Batas.

“Mengenai pengebumian, difahamkan ahli keluarga arwah akan uruskan dan kemungkinan dikebumikan di Perlis kerana arwah berasal dari sana,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Dua beranak rentung dalam kebakaran, seorang lagi cedera

Media semalam, seorang wanita dan anak angkatnya ditemui rentung manakala seorang lagi mangsa cedera dalam kebakaran membabitkan kediaman berkembar kelas A dengan kemusnahan dianggarkan 85 peratus.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, selain dua mangsa yang maut, seorang lelaki turut ditemui pada jam 10.21 pagi dalam keadaan cedera dihempap bumbung berhampiran pintu dapur.

“Mangsa, Hayani Yaakob, 50-an dan anak angkatnya, Andra, 5, ditemui rentung di ruang tamu berhampiran pintu keluar utama pada jam 10.59 pagi.

“Kebakaran berjaya dikawal jam 10.15 pagi sebelum padam sepenuhnya pada 11.21 pagi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast