BUTTERWORTH – Seorang wanita bersama anak angkatnya maut selepas rumah berkembar satu tingkat yang didiami mereka di Lorong Nakhoda 5, Taman Rathna di sini, musnah dalam kebakaran hari ini.
Dalam kejadian jam 9.35 pagi tadi, seorang lagi mangsa dikenali Daniel Quyum Kamarozlan, 20-an, cedera selepas dihempap bumbung dan berjaya dikeluarkan pasukan penyelamat ketika operasi dijalankan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian 9.41 pagi dan jentera dari BBP Butterworth dengan bantuan BBP Penanti, Bandar Perda dan Kepala Batas tiba di lokasi pada 10.06 pagi.

“Api berjaya dikawal jam 10.15 pagi sebelum pasukan penyelamat menemui wanita berusia 50-an serta anak angkatnya, seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dalam keadaan rentung di ruang tamu berhampiran pintu utama antara jam 10.21 hingga 10.59 pagi.
“Anak lelaki wanita pula ditemui dalam keadaan cedera dihempap bumbung di pintu dapur,” katanya hari ini.
Tambah beliau, kesemua mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk tindakan lanjut.
“Kebakaran itu dipadamkan sepenuhnya jam 11.21 pagi dan rumah berkenaan musnah kira-kira 85 peratus,” katanya. – MalaysiaGazette
















