SUBANG – Selepas 11 tahun bergelar ibu tunggal, aktres popular Erra Fazira kembali bergelar isteri kepada pilihan hatinya yang juga pemilik rangkaian restoran Kueh, Ezwan Zain pagi ini.
Erra atau Fazira Wan Chek, 51, memilih Ezwan, 44, yang merupakan bapa tunggal kepada seorang anak perempuan berusia 16 tahun.
Pasangan itu selamat dinikahkan dengan sekali lafaz oleh jurunikah oleh Penolong Pendaftar Perkahwinan, Majlis Agama Islam Selangor, Mohd Sabirin Noordin.
Pada majlis bertemakan dalam taman dan warna putih di Rinjani Majestic itu di sini, Erra dan Ezwan memilih konsep simbolik hantaran dalam sebuah talam yang diangkat dengan tandu antaranya sepersalinan emas, tas tangan, jam tangan serta kasut.

Erra yang anggun memakai persalinan pereka fesyen terkenal, Rizman Ruzaini dan ditata rias oleh oleh Deqsha turut menerima sepokok bunga emas seberat 102 gram sebagai mas kahwin.
Ia juga pokok ufti bunga emas yang dihiasi 24 keping dinar emas di mana pernah menjadi tradisi masyarakat Melayu abad ke-14.
Sementara itu, hubungan Erra dan Ezwan mula dihidu selepas primadona filem itu memuat naik ucapan berbaur romantis kepada lelaki berkenaan pada Januari lalu.
Erra pernah berkahwin dengan usahawan Engku Emran pada 25 Oktober 2007 sebelum bercerai pada 18 Februari 2014.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Engku Aleesya, 16.
Sebelum ini, Erra berumah tangga dengan penyanyi kumpulan KRU, Datuk Yusry Abdul Halim pada 2003 namun perkahwinan mereka berakhir pada 2006 dan mereka tidak dikurniakan cahaya mata. – MalaysiaGazette

















