KUALA LUMPUR – Pakar pendidikan, Dr. Anuar Ahmad pelik apabila juga pemimpin politik negara ini yang berkata ‘boleh bincang’, ‘boleh runding’ untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Sedangkan, UEC sangat jelas melanggar Perkara 152 Perlembagaan Malaysia, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 dan Akta Pendidikan 550 (1996).
Menurutnya, disebabkan pelanggaran tersebut tidak pernah ada tuntutan pengiktirafan UEC dikemukakan untuk semakan kehakiman di mahkamah walaupun desakan telah dilaksanakan sejak tahun 1975.
“Mengapa mereka tak bawa sahaja ke mahkamah? Mengapa mereka hanya nak jumpa dan bincang dengan YAB Perdana Menteri?
“Kalau tuntutan ini benar dan mereka yakin UEC memenuhi peruntukan perlembagaan negara dan Akta Pendidikan, sudah lama kes UEC ini mereka bawa ke mahkamah.
“Ramai sahaja peguam yang boleh menasihati kumpulan pendesak UEC ini untuk bawa ke mahkamah.
“Tetapi mereka tak bawa dan saya yakin mereka tak akan bawa sebab mereka tahu bila bawa tuntutan pengiktirafan UEC ke mahkamah dan ditakdirkan kalah, UEC akan berkubur di negara ini.
“Ibu bapa akan mula sangsi dengan tahap persijilan UEC. Ibu bapa akan berpindah ke SMJK atau ke sekolah antarabangsa,” jelas beliau.
Anuar yang juga Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA) Universiti Kebangsaan Malaysia menegaskan, disebabkan faktor itu juga desakan mengiktiraf UEC hanya dilakukan melalui saluran politik.
“Strateginya desak-runding-senyap, desak-runding-senyap. Mana tahu, ada ketika bila parti kerajaan dalam situasi sokongan rakyat yang lemah, desakan mereka menjadi,” tambah beliau.
Dakwanya, DAP biasanya tunggu masa yang sesuai untuk mengemukakan isu ini iaitu setiap kali menjelang pilihan raya umum.
Strategik seumpama ini telah bermula tahun 1959 lagi, begitu juga ketika tuntutan Suqiu 1999.
Pada PRU 2018 juga berlaku, ketika sokongan rakyat kepada parti UMNO berada di titik paling lemah dan sekarang mereka mendesak lagi.
“Peliknya, ada juga pemimpin politik yang kata ‘boleh bincang’, ‘boleh runding’ untuk iktiraf UEC. Bincang macam mana kalau UEC jelas tak ikut keluhuran perlembagaan?,” soal Anuar.
Tegas beliau, secara jelas bahasa pengantar utama UEC bukan bahasa Melayu dan kurikulum UEC bukan kurikulum kebangsaan.
Selain itu, peperiksaan UEC bukan peperiksaan kebangsaan dan guru-guru UEC bukan guru latihan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).
Secara sinis, Anuar meminta pihak-pihak yang memperjuangkan UEC supaya melihat beberapa negara jiran yang lain.
Soal beliau, adakah Singapura iktiraf UEC setara dengan kurikulum kebangsaan mereka.
“Adakah wujud sekolah persendirian di Singapura yang melaksanakan kurikulum UEC setaraf dengan kurikulum kebangsaan Singapura? Adakah negara Indonesia iktiraf UEC setara kurikulum kebangsaan mereka?
“Adakah negara Thailand, Brunei, Filipina, Vietnam malah negara China sendiri iktiraf UEC setaraf dengan kurikulum kebangsaan negara mereka? Tak ada pun.
“Kerajaan mereka tidak pernah iktiraf kurikulum UEC setara atau setaraf dengan kurikulum kebangsaan di negara mereka.
“Mereka hanya benarkan universiti-universiti mereka terima pelajar yang ada sijil UEC dari Malaysia sebab itu menjana pendapatan dari yuran pelajar antarabangsa untuk negara mereka,” ujar beliau. – MalaysiaGazette
















