Danish Hairudin
Danish Hairudin

KUALA LUMPUR — Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini mempersoalkan tindakan usahawan, Albert Tei, yang didakwa membuat pengakuan di media mengenai pemberian rasuah tetapi menafikannya ketika dihadapkan ke mahkamah.

Ketua Penerangan AMK Malaysia, Danish Hairudin berkata, percanggahan antara kenyataan awam dan pengakuan di mahkamah itu menimbulkan keraguan mengenai kredibiliti individu berkenaan.

“Albert Tei sendiri sebelum ini mengakui memberi rasuah dalam jumlah besar ketika bercakap kepada media.

“Namun apabila kes dibawa ke mahkamah, beliau tiba-tiba mengaku tidak bersalah. Situasi ini menimbulkan persoalan sama ada beliau benar-benar konsisten atau sekadar cuba mengelirukan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Danish, tindakan bercanggah itu juga mencabar integriti Tei sebagai individu yang mendakwa membawa pendedahan mengenai isu rasuah.

“Memberi rasuah secara besar-besaran dan kemudian tampil sebagai ‘whistleblower’ bukanlah keberanian, tetapi menunjukkan percanggahan prinsip. Tidak wajar seseorang yang membuat pengakuan di luar mahkamah kemudian menafikannya di hadapan hakim,” ujarnya.

Jelasnya, AMK berpandangan bahawa proses undang-undang perlu berjalan tanpa tekanan atau manipulasi melalui kenyataan di media.

“Malaysia mempunyai sistem perundangan yang jelas. Jika sesuatu dakwaan dibuat, ia perlu dibuktikan dalam mahkamah, bukan melalui pentas media,” tegasnya.

Danish turut menolak cubaan mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu itu, menyifatkannya sebagai usaha mengalihkan perhatian daripada percanggahan kenyataan yang dibuat Tei sendiri.

Katanya, AMK berharap semua pihak menghormati proses undang-undang dan tidak menggunakan media bagi menimbulkan persepsi yang boleh mengelirukan rakyat. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast