KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan hujan berterusan yang diramal melanda hujung minggu ini tidak berada pada tahap ekstrem berdasarkan analisis model cuaca semasa.
Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr. Mohd Hisham Mohd Anip berkata, penilaian mengenai risiko banjir besar perlu dirujuk kepada Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) yang mempunyai kepakaran dalam aspek hidrologi.
Menurutnya, analisis model ramalan cuaca menunjukkan luruan monsun dijangka berlaku dari 14 hingga 17 Disember 2025.
“Keadaan ini berpotensi membawa hujan lebat berterusan di timur Semenanjung dan barat Sarawak, selain angin kencang serta laut bergelora di Laut China Selatan dalam tempoh tersebut.
Orang awam dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web serta media sosial rasmi MetMalaysia dan memuat turun aplikasi myCuaca bagi mendapatkan maklumat yang sahih dan terkini,” katanya.
Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Gua Musang, Mohd Roshdi Ismail, mengingatkan penduduk di kawasan berisiko, khususnya yang tinggal berhampiran sungai, agar sentiasa berwaspada berikutan kemungkinan berlakunya gelombang kedua banjir pada bila-bila masa.
Dr. Mohd Hisham turut menegaskan, orang ramai perlu sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang tempoh monsun. – MalaysiaGazette
















