KUALA LUMPUR – Waktu operasi perkhidmatan tren di Stesen Bukit Jalil pada malam 14 Disember ini akan dilanjutkan sehingga jam 12.30 tengah malam bersempena Perlawanan Akhir Piala FA 2025-2026 yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Rapid Rail Sdn Bhd dalam kenyataan berkata, bagi memastikan perjalanan para penyokong lebih lancar, waktu operasi di stesen- stesen integrasi turut akan dilanjutkan.
Stesen-stesen lain akan ditutup seperti biasa, namun penumpang masih boleh keluar di mana-mana stesen bagi meneruskan perjalanan pulang.
“Para penyokong digalakkan untuk menggunakan kad Touch ‘n Go bagi menikmati perjalanan yang lebih lancar serta mengelakkan kesesakan ketika masuk dan keluar stesen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, pengguna yang menggunakan token disaran membeli token pergi dan balik lebih awal, sebelum meninggalkan stesen.
Kemudahan fasiliti Park N’ Ride di stesen-stesen rel terpilih turut tersedia bagi memudahkan perjalanan tanpa perlu menempuh kesesakan trafik atau kesukaran mencari parkir di kawasan stadium.
Senarai stesen serta kadar caj Park N’ Ride boleh didapati di laman rasmi Rapid KL.
Rapid Rail akan menempatkan kakitangan tambahan di lokasi-lokasi strategik bagi membantu pergerakan penyokong dan memastikan aliran trafik di dalam stesen berjalan lancar.
Untuk makluman terkini, penyokong digalakkan mengikuti media sosial Rapid KL dan memuat turun aplikasi PULSE Rapid KL bagi merancang perjalanan dengan lebih mudah. -MalaysiaGazette
















