Suspek (baju lokap oren) sempat memohon maaf kepada bapa mentuanya, Ishak (kanan) ketika dibawa untuk melihat jenazah isterinya buat kali terakhir di Unit Forensik Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang hari ini.

SEBERANG JAYA – “Saya minta maaf, ayah”.

Itu kata suspek yang ditahan polis susulan disyaki bunuh dan simpan mayat isteri selamat empat hari kepada bapa mentuanya ketika anggota polis mengiringinya keluar dari Unit Forensik Hospital Seberang Jaya di sini, hari ini selepas melihat mayat isterinya buat kali terakhir.

Terdahulu, suspek berusia 28 tahun itu dibawa ke unit forensik jam 11 pagi dan berada di dalam kawasan berkenaan hampir setengah jam.

Menurut bapa mentuanya, Ishak Man, 76, dia mendengar sendiri ucapan tersebut ketika suspek melintasinya.

“Dia jalan depan saya, pandang saya dan sebut, ‘Saya minta maaf, Ayah’. Itu sahaja yang keluar dari mulut dia,” katanya di sini.

Kata Ishak, dia tidak pernah mempunyai sebarang masalah dengan menantunya dan hanya berjumpa beberapa kali sejak pasangan berkenaan mendirikan rumah tangga lebih dua tahun lalu.

Jelasnya, menantunya itu pernah menyatakan bahawa dia mudah berasa cemburu jika melihat isterinya berbual dengan orang lain.

“Sebab itu saya terkejut bila dimaklumkan dia mengaku kepada polis membunuh anak saya..Tak sangka boleh jadi sampai begitu,” katanya.

“Dia ada cerita pada saya, dia cepat cemburu dan saya cuma nasihat supaya banyak bersabar.

“Malah, saya juga tidak mengetahui sama ada menantunya mempunyai sebarang masalah mental,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ishak memaklumkan jenazah anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Suka Menanti, Alor Setar, Kedah selepas solat Asar nanti.

ARTIKEL BERKAITAN

Suami bunuh, simpan mayat isteri direman tujuh hari

MalaysiaGazette semalam melaporkan, seorang lelaki tampil ke balai polis berhampiran memaklumkan telah membunuh isterinya empat hari lalu di kediaman mereka.

Hasil pemeriksaan polis membawa kepada penemuan mayat wanita beusia 44 tahun itu di dalam salah sebuah bilik rumah berkenaan dengan kesan kelar pada bahagian leher.

Susulan itu, polis memberkas suspek berusia 28 tahun yang juga pengganggur bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast