Yang Dipertua Sekolah Kebangsaan Shah Alam, Mohd Dendera Billah Zamzuri

SHAH ALAM – Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang dimansuhkan pada 2021 wajar dikembalikan semula kerana keberkesanannya mengukur penguasaan ilmu dalam kalangan pelajar di negara ini.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Shah Alam Seksyen 16, Mohd Dendera Billah Zamzuri berkata, Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) bukan ujian standard kebangsaan seperti UPSR.

“Rata-rata ibu bapa dalam PIBG SK Shah Alam Seksyen 16 sangat bersetuju kerajaan dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengembalikan UPSR.

“Pentaksiran akhir sesi akademik yang dilaksanakan pihak sekolah atau UASA bukan peperiksaan pusat yang seragam seperti UPSR/PT3.

“Ini kerana pentaksiran berasaskan sekolah yang seragam menggunakan bank soalan pusat disediakan Lembaga Peperiksaan (LP) KPM yang mengikut Jadual Spesifikasi Ujian (JSU),” katanya menerusi satu kenyataan kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Pada 16 September lalu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki juga bersetuju agar peperiksaan UPSR dikembalikan.

Asyraf berkata, ini kerana sistem penilaian berpusat dan terselaras diperlukan untuk mengukur keupayaan sebenar murid sebelum ke peringkat menengah.

Dendera yang juga bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam berkata, hanya UPSR dapat mewujudkan saingan yang sihat dalam ekosistem pembelajaran di peringkat sekolah rendah.

“UPSR merupakan peperiksaan standard penilaian dan ujian yang lebih selaras untuk seluruh Malaysia.

“Murid-murid pula dapat memberi fokus terhadap mata pelajaran serta persiapan untuk menduduki UPSR,” katanya.

Sementara itu, Dendera juga berkata, PIBG sentiasa percaya  kejayaan seorang murid bukan diukur pada keputusan pentaksiran atau ujian semata-mata, tetapi juga pada sahsiah, disiplin, nilai murni dan semangat juang yang ditunjukkan.

“Kita mahu melahirkan murid yang bukan hanya bijak di dalam kelas, tetapi juga mempunyai karakter yang kuat, beradab dan mampu menyumbang kepada masyarakat.

Katanya lagi, beliau sangat menghargai sokongan dan hubungan baik antara pihak sekolah dan ibu bapa dalam memastikan pendidikan anak-anak sentiasa berada pada tahap terbaik.

“Hari Anugerah Kecemerlangan Permata 2025 SK Shah Alam Seksyen 16 bukan sekadar acara untuk menyampaikan anugerah.

“Ia adalah pengiktirafan kepada usaha gigih, ketabahan dan disiplin anak-anak kita yang telah berusaha sepanjang tahun.

“Setiap kejayaan yang diraikan hari ini adalah hasil kerjasama tiga pihak iaitu sekolah, ibu bapa dan murid,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast