SEBERANG JAYA – Polis tidak menolak kemungkinan perasaan cemburu menjadi punca seorang lelaki bertindak membunuh isterinya sebelum menyimpan mayat wanita itu selama empat hari di dalam bilik tidur rumah mereka di pangsapuri Jalan Tuna di sini, pada Khamis lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, perkara itu dikenal pasti hasil siasatan awal yang dijalankan terhadap suspek berusia 28 tahun.
“Setakat ini, kita tidak menolak kemungkinan punca kejadian berlaku disebabkan perasaan cemburu suspek terhadap mangsa berusia 44 tahun.
“Siasatan turut mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod masalah kesihatan.
“Suspek kini dalam tempoh reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis sedang melengkapkan siasatan berhubung kes tersebut,” katanya hari ini.
MalaysiaGazette pada Khamis lalu melaporkan, seorang lelaki tampil ke balai polis berhampiran memaklumkan telah membunuh isterinya empat hari lalu di kediaman mereka.
Hasil pemeriksaan polis membawa kepada penemuan mayat wanita beusia 44 tahun itu di dalam salah sebuah bilik rumah berkenaan dengan kesan kelar pada bahagian leher.
Susulan itu, polis memberkas suspek berusia 28 tahun yang juga pengganggur bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette















