Logo Pena

KUALA LUMPUR – Bahasa Melayu merupakan antara teras Perlembagaan negara dan ‘harganya’ bukan ditentukan oleh parti politik yang berkuasa sementara tetapi oleh seluruh rakyat.

Oleh itu, kedudukan bahasa Melayu tidak boleh dikompromikan atau diketepikan dalam apa-apa rundingan, apatah lagi tuntutan yang bersifat ugutan politik.

Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Dr. Mohamad Saleeh Rahamad menyeru, semua pemimpin parti politik Melayu dan pemegang taruh dalam sistem pendidikan kebangsaan bersatu menyatakan pendirian menolak cadangan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bagi mengelakkan negara ini tergadai dengan “harga yang murah”.

“Parti politik sememangnya akan berusaha mencari sokongan daripada pengundinya tetapi kerajaan tidak boleh tunduk sama sekali terhadap tuntutan yang melanggar sistem yang dirangka berdasarkan Perlembagaan.

“Tetapi, sistem pendidikan kebangsaan tidak boleh dipermain-mainkan oleh pihak swasta dengan andaian bahawa mereka memiliki kepercayaan daripada universiti di seluruh
dunia sekalipun,” tegas beliau menyokong ketegasan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tidak mengiktiraf UEC walaupun didesak tanpa henti oleh parti-parti politik yang berkepentingan.

Jelasnya, pendirian perdana menteri itu selari dengan aspirasi Pena yang memperjuangkan pemerkasaan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan dan semua bidang pentadbiran sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, kerajaan yang dipimpin oleh perdana menteri sebagai teraju kuasa eksekutif mesti berani untuk mempertahankan sistem pendidikan yang sudah sedia
mengambil kira semua perkara.

“Sebarang tuntutan untuk kepentingan pendidikan mesti mengutamakan kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan nilai utama dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan,” katanya.

Beliau menambah, penguasaan semua bahasa lain merupakan nilai tambah dalam usaha membangunkan modal insan di negara ini tetapi bukannya dengan mengorbankan Bahasa Kebangsaan.

“Di tengah-tengah usaha memartabatkan Bahasa Kebangsaan, penguasaan dalam bahasa-bahasa lain merupakan nilai tambah dalam persaingan global,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast