KUALA LUMPUR – Usaha DAP untuk memperjuangkan semula pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) didakwa satu wayang politik.
Ia menggunakan skrip lama, pelakon sama dan penonton yang diharap lupa akan babak sebelum ini.
Pemerhati politik, Azizi Safar yang mengulas isu UEC bertanya adakah perjuangan DAP ini soal prinsip yang tertangguh atau naratif yang terdesak selepas ditolak pengundi pada Pilihan Raya Negeri Sabah.
“Wayang apakah ini, sebenarnya. Persoalannya mudah: Kenapa sekarang? Kenapa bukan sebelum rakyat menghukum di peti undi?,” soalnya kepada DAP menerusi hantaran di Facebook.
Tanya beliau beliau, mengapa isu tersebut tidak diketengahkan ketika DAP berada dalam Kerajaan Pakatan Harapan (PH) 1.0 selama 22 bulan, sedangkan ketika itu ia mempunyai enam menteri termasuk portfolio kanan serta akses dalam Kabinet.
“Mereka ada enam orang Menteri, malah memegang kementerian kanan. Kuasa ada. Akses ada. Meja Kabinet ada. Tetapi pengiktirafan UEC?
“Ketika itu kuasa ada, menteri ada dan pengaruh ada. Persoalannya, mengapa isu UEC tidak menjadi keutamaan ketika DAP berada dalam kedudukan kuat?,” tanya beliau.
Kini, katanya, dalam Kerajaan Madani dan DAP sudah hampir 3 tahun berada dalam kerajaan, walaupun jumlah menteri berkurang kepada lima orang, hakikatnya DAP masih antara parti paling dominan dalam Kerajaan Perpaduan; dari segi kerusi Parlimen dan pengaruh politik.
Namun, selama tempoh tersebut, isu iktiraf UEC tidak menjadi keutamaan.
“Tiada “garisan merah”. Tiada ugutan letak jawatan. Tiada drama moral.
“Sehinggalah … DAP kalah teruk 8-0 dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17. Barulah isu UEC “dihidupkan” semula.
“Barulah keluar kenyataan bernada pengorbanan. Barulah muncul skrip kononnya demi prinsip dan maruah,” tambahnya.
Azizi berkata, jika UEC benar-benar soal prinsip, ia sepatutnya diperjuangkan semasa DAP kuat, bukan ketika sokongan semakin susut.
Tegas beliau, prinsip tidak menunggu kekalahan untuk dibela dan prinsip juga tidak bermusim serta tidak bergantung pada keputusan pilihan raya. – MalaysiaGazette
















