Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Instrumen kerjasama pertahanan yang ditandatangani oleh Kementerian Pertahanan (Mindef) dengan Jabatan Perang Amerika Syarikat (AS) pada 30 Oktober lalu merupakan memorandum persefahaman (MoU) dan bukannya perjanjian.

MoU itu dibuat semasa sela-sela ASEAN Defence Ministers’ Meeting (ADMM) dan ADMM-Plus.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjelaskan MoU kerjasama pertahanan dengan AS ini bersifat tidak mengikat dari segi perundangan dan telah dirundingkan sejak tahun 2020.

Menurutnya, pemeteraian MoU kerjasama pertahanan dengan AS ini juga tiada kaitan dengan Perjanjian Timbal Balas Perdagangan Malaysia–Amerika Syarikat (ART) yang telah dimeterai pada 26 Oktober 2025 di sela-sela ASEAN Summit di Kuala Lumpur.

” Kandungan MoU kerjasama pertahanan ini tertumpu kepada aktiviti-aktiviti dua hala antara Malaysia dengan AS merangkumi pembangunan keupayaan dan kapasiti, latihan dan eksesais ketenteraan, sains, teknologi dan industri pertahanan, serta bidang-bidang lain yang dipersetujui bersama melalui Malaysia-US Strategic Talk (MUSST) yang telah dilaksanakan sejak tahun 2008.

“Pemeteraian MoU kerjasama pertahanan dengan negara-negara rakan adalah instrumen diplomasi pertahanan seperti yang digariskan dalam Tonggak Ketiga, Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang telah dilancarkan pada tahun 2019 ketika YABhg Tun memegang amanah sebagai Perdana Menteri ke-7,” terang Khaled.

Beliau mengulas kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung Kerajaan Malaysia telah menandatangani satu perjanjian kerjasama pertahanan baharu dengan Amerika Syarikat.

Dakwa Dr. Mahathir, perjanjian ini ditandatangani empat hari selepas Perjanjian Perdagangan Timbal Balik dimeterai.

Katanya, setakat ini, kerajaan masih belum mendedahkan kepada umum keseluruhan MoU tersebut dan ia merupakan satu perkara yang serius.

“Kerajaan tidak seharusnya menyembunyikan MoU ini kerana ia menjejaskan dasar Malaysia untuk bersahabat dengan semua negara serta prinsip ZOPFAN (Zon Keamanan, Kebebasan dan Berkecuali).

“Menyembunyikan perjanjian sedemikian boleh membawa implikasi undang-undang yang serius,” luah Dr. Mahathir menerusi hantaran di Facebook.

Mengulas lanjut, Khaled berkata, selain AS, Malaysia turut menandatangani MoU kerjasama pertahanan dengan negara-negara lain seperti China (2016), Jepun (2018), Laos
(2019), Indonesia (2022), Vietnam (2023) dan yang terkini dengan Emiriah Arab Bersatu (United Arab Emirates, UAE) pada 11 Disember 2025.

Pemeteraian MoU kerjasama pertahanan dengan negara-negara ini termasuk AS adalah seiring dengan dasar luar Malaysia yang neutral dan berkecuali, serta mendokong komitmen negara kepada deklarasi ZOPFAN yang ditandatangani oleh negara anggota ASEAN pada tahun 1971.

Khaled turut merakamkan penghargaan atas keprihatinan Dr Mahathir dalam perkara ini dan menegaskan pemeteraian MoU kerjasama pertahanan dengan AS adalah atas
kepentingan negara dalam usaha memastikan Malaysia kekal selamat, berdaulat dan makmur. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast