Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong)

KUALA LUMPUR – Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) mendakwa pengiktirafan terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) tidak pernah bercanggah dengan dasar pendidikan negara di samping tidak akan menjejaskan kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

Katanya, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, di samping menjamin hak rakyat untuk mempelajari, menggunakan, dan mengajar bahasa-bahasa lain.

“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri pernah menyatakan secara terbuka pada tahun 2018 bahawa pengiktirafan UEC tidak menjejaskan dasar pendidikan negara dan tidak akan melemahkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut persatuan itu, Dong Zong sentiasa menghormati Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, serta menyokong dasar kerajaan dalam memperkukuh keupayaan pelbagai bahasa dalam kalangan rakyat.

Katanya, penguasaan Bahasa Melayu merupakan tanggungjawab setiap warganegara, dan Dong Zong tidak pernah mempertikaikan kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

Bahasa Melayu juga merupakan mata pelajaran wajib dalam sistem kurikulum UEC di Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC).

“Kami juga bersetuju dengan syarat kerajaan yang menetapkan pencapaian gred cemerlang dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai prasyarat bagi pengiktirafan UEC.

“Kadar kelulusan pelajar SMPC dalam mata pelajaran Bahasa Melayu SPM sentiasa melebihi 96% sejak beberapa tahun kebelakangan, iaitu 97.38% pada tahun 2022, 97.11% pada tahun 2023, dan 96.65% pada tahun 2024,” katanya lagi.

Dong Zong turut mempersoalkan mengapa tiada cabaran perundangan dikemukakan setelah kerajaan negeri Sarawak dan Sabah mengumumkan pengiktirafan rasmi terhadap UEC.

“Sekiranya pengiktirafan UEC dianggap bercanggah dengan Perlembagaan, mengapakah kerajaan membenarkan institusi pengajian tinggi awam mengiktiraf kelayakan bukan berasaskan Bahasa Melayu seperti A-Level dan International Baccalaureate (IB) sebagai syarat kemasukan?

“UEC telah diiktiraf secara meluas oleh sistem pendidikan tinggi di peringkat antarabangsa, dan tahap akademiknya telah terbukti serta diiktiraf,” kata kenyataan itu lagi. -MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.