KUALA LUMPUR – Rafizi Ramli didakwa tidak faham perkara paling asas dalam dasar pendidikan – isu Bahasa Kebangsaan, kurikulum kebangsaan dan peperiksaan kebangsaan yang menjadi tiga perkara asas dalam sistem pendidikan negara.
Disebabkan itu, Rafizi yang juga bekas menteri ekonomi didakwa tidak dapat membezakan isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dengan keperluan penguasaan bahasa Mandarin.
Pakar pendidikan, Dr. Anuar Ahmad berkata, tiada siapa yang menghalang bahasa Mandarin dikuasai oleh anak-anak Malaysia, malah digalakkan anak-anak kuasai banyak bahasa khususnya bahasa tersebut.
Namun, kalau Rafizi untuk beri sokongan pada UEC demi untuk anak-anak kuasai bahasa Mandarin kerana ia adalah bahasa ekonomi dunia, ternyata beliau silap besar.
“Sepatutnya beliau sokong perkasakan bahasa Mandarin di sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan. Tambah guru bahasa Mandarin dan tambah waktu untuk anak-anak belajar bahasa Mandarin di sekolah Kebangsaan, SJKC (sekolah jenis kebangsaan Cina) dan SMJKC.
“Semua sekolah ini adalah sekolah aliran kebangsaan. Itu yang sepatutnya beliau cadangkan. Bukan dengan menyokong UEC yang terang-terang melanggar Perkara 152 Perlembagaan, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 dan Akta Pendidikan 1996.
“Ingatkan bijak. Rupa-rupanya tidak,” katanya hari ini.
Dalam satu podcast, Rafizi berhujah bahawa Malaysia mesti mengiktiraf UEC sekarang kerana masyarakat negara in perlu menguasai tiga bahasa – bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin.
Hujahnya, dunia kini sedang melalui satu peralihan sejarah kuasa global daripada Barat kepada China dan dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang, China berada di landasan untuk mengatasi Amerika Syarikat sebagai kuasa besar dunia yang terbesar.
Apabila itu berlaku, katanya, bahasa Mandarin akan menggantikan bahasa Inggeris sebagai bahasa global yang paling penting dalam bidang perniagaan, ekonomi, teknologi, sains dan ilmu pengetahuan. – MalaysiaGazette

















Di Singapura yg majoriti penduduknya Cina pun tak ada UEC.. yg ada ialah O-Level dan A-Level.. dan semua peperiksaan dikendalikan oleh Kem. Pendidikan bukannya persatuan rasis mcm Dong Zhiong tu