SINTOK – Universiti Utara Malaysia (UUM) menafikan dakwaan bahawa perubahan lokasi Majlis Graduasi Syarikat Air Darul Aman (SADA) dibuat secara mengejut, sebaliknya menegaskan keputusan itu telah ditetapkan lebih awal atas faktor keselamatan.
Jabatan Komunikasi Korporat UUM dalam kenyataan memaklumkan, pihak pengurusan universiti sejak 1 Disember lalu telah memutuskan Dewan Mu’adzam Shah tidak boleh digunakan bagi sebarang penganjuran program berskala besar buat sementara waktu.
Jelasnya, keputusan itu dibuat susulan pemeriksaan keselamatan mendapati kerosakan pada struktur bumbung dewan akibat hujan lebat.
“Keputusan perubahan lokasi tersebut bukan dibuat dua hari sebelum program itu dilaksanakan iaitu 11 Disember lalu , seperti yang didakwa oleh pihak-pihak tertentu.
“Sebaliknya keputusan berkenaan selaras dengan notis edaran emel pada 7 Mac lalu kepada semua staf universiti berhubung pelaksanaan projek menaik taraf dan membaik pulih Dewan Mu’adzam Shah, Teater Eksperimen dan Dewan Tan Sri Othman.
“Projek melibatkan penggantian bumbung dan pembaikan infrastruktur itu dijadualkan bermula 14 Mei lalu hingga 14 November 2027, namun kerja-kerja berkenaan hanya ditangguhkan sementara bagi memberi laluan kepada Majlis Konvokesyen UUM pada November lalu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah kenyataan itu, sebagai sebuah institusi awam, aspek keselamatan dan kebajikan pengunjung sentiasa menjadi keutamaan sebelum sebarang fasiliti digunakan.
“Dalam hal ini, keselamatan dan keselesaan keluarga besar SADA yang hadir ke majlis tersebut menjadi pertimbangan utama kami. Atas faktor itu, penggunaan Dewan Mu’adzam Shah tidak dapat dipertimbangkan bagi mengelakkan sebarang risiko.
“Walaupun berlaku pertukaran lokasi, UUM memaklumkan pihaknya tetap memberikan sokongan penuh kepada penganjuran majlis graduasi SADA termasuk menyediakan pinjaman jubah, sebahagian kerusi serta pelbagai kemudahan lain bagi memastikan kelancaran program.
“UUM turut menghargai hubungan baik dengan SADA dan menegaskan kesediaan untuk terus bekerjasama dalam program melibatkan masyarakat serta rakan strategik pada masa hadapan,” katanya.
Semalam media melaporkan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kesal dengan pihak pengurusan UUM yang didakwa membatalkan penggunaan dewan bagi Majlis Graduasi SADA pada saat akhir.
Katanya, pihak berkenaan memberi alasan pembatalan itu dibuat disebabkan kerja-kerja pengubahsuaian Dewan Mu’adzam Shah, namun beliau percaya ia berpunca daripada perbezaan fahaman politik. – MalaysiaGazette
















