BANDAR PERMAISURI – Seorang jurujual kenderaan maut selepas kereta dipandunya bertembung sebuah lori muatan kelapa sawit di Kilometer 50 Jalan Pantai Kuala Terengganu-Permaisuri dekat Kampung Telaga Putat, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Setiu Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, kejadian berlaku pada 6.11 petang dan mangsa, Tuan Nur Amirah Tuan Azhar, 32, dari Kampung Pak Kancil Luar, di sini, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

“Kejadian dipercayai berlaku selepas Perodua Myvi mangsa dari arah Kuala Terengganu menghala ke Pasir Puteh, Kelantan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung lori Hino dari arah Pantai Penarik yang menghantar kelapa sawit ke Kampung Rahmat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kejadian menyebabkan kereta mangsa remuk pada bahagian hadapan, manakala lori terbalik namun pemandu berusia 41 tahun tidak cedera.

Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast