Fadzmel Fadzil
Fadzmel Fadzil

KUALA LUMPUR – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Fadzmel Fadzil mempersoalkan konsistensi pendirian MIC dalam Barisan Nasional (BN) susulan beberapa tindakan dan kenyataan parti itu yang didakwa saling bercanggah sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata, kenyataan Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, Arvind Krishnan yang menafikan MIC bersikap tidak jujur atau ‘kemabukan kuasa’ perlu dinilai berdasarkan keseluruhan rentetan peristiwa yang telah dilaporkan secara terbuka, bukannya dilihat secara terpisah.

Menurutnya, kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menyebut MIC bercakap berbeza pada waktu berbeza dibuat dalam nada tenang dan bertujuan mendapatkan pendirian yang jelas daripada parti komponen tersebut demi kestabilan gabungan.

“Ungkapan itu bukan bersifat emosi, sebaliknya lahir daripada keperluan kepimpinan BN untuk memahami hala tuju sebenar MIC yang dilihat berubah-ubah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kekeliruan bermula apabila MIC sendiri mengakui wujud perbincangan awal dan tidak rasmi dengan Perikatan Nasional (PN) bagi menentukan hala tuju politik parti yang kemudiannya disusuli kehadiran wakil Pemuda MIC ke Mesyuarat Perwakilan Armada Bersatu.

Keadaan itu, katanya, menjadi semakin mengelirukan apabila pemimpin kanan MIC turut dilaporkan menghadiri Perhimpunan Agung Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang merupakan antara rakan gabungan PN.

Fadzmel turut merujuk laporan Mesyuarat Perwakilan Tahunan MIC ke-79 yang meluluskan usul supaya parti itu keluar BN dan menyertai PN selain pengesahan daripada kepimpinan PN bahawa MIC pernah memohon untuk menyertai gabungan tersebut.

Soalnya perkembangan itu menimbulkan tanda tanya apabila MIC pada masa yang sama dilaporkan menyatakan kecenderungan menyokong PN namun dalam kenyataan berasingan menegaskan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Situasi ini menunjukkan wujud ketidaksejajaran antara kenyataan dan tindakan, dan ia bukan rekaan mana-mana pihak, sebaliknya boleh dinilai melalui laporan media yang tersedia.

“Kecenderungan MIC ke arah PN bukan perkara baharu kerana sebelum ini pemimpin utamanya pernah menyatakan hasrat untuk bersama gabungan tersebut, meskipun pendirian itu kemudiannya berubah,” ujarnya.

Dalam konteks itu, beliau berkata, ketegasan Pengerusi BN menuntut penjelasan daripada MIC adalah wajar dan bertujuan menegakkan nilai kesetiaan dalam gabungan politik.

“Kesetiaan tidak hanya diuji ketika parti berada di luar kerajaan, tetapi juga apabila wujud sedikit ruang kuasa. Di situlah kejujuran dan prinsip sebenar kepimpinan akan terserlah,” katanya.

Fadzmel yang pernah menjawat jawatan Setiausaha Pemuda BN turut mengingatkan MIC sejak awal penubuhannya dibina atas asas kesetiaan kepada kerjasama politik dan kestabilan negara bukan politik beremosi atau ugutan.

Dalam pada itu, beliau berharap MIC dapat bermuhasabah dan kembali memperkukuh kerjasama bersama BN, sambil menegaskan bahawa ruang perbincangan sentiasa terbuka melalui saluran rasmi seperti Dewan Tertinggi BN.

“Contohilah sikap Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong yang tetap hadir ke meja rundingan walaupun wujud perbezaan pandangan demi mencari titik persamaan dan mengekalkan kestabilan gabungan.

“Pendekatan matang sebegini penting bagi memastikan kerjasama politik kekal kukuh dan tidak terjejas oleh kekeliruan pendirian,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast