KUALA LUMPUR – Barisan Kabinet baharu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini diharap dapat bekerja dengan penuh iltizam dan tanggungjawab.
Anwar berkata, dengan kesungguhan yang akan diberikan itu diharap dapat memastikan kesejahteraan rakyat serta kepentingan negara sentiasa menjadi keutamaan.
“Penghargaan dan ucapan terima kasih juga saya rakamkan kepada barisan pimpinan yang telah bersama dalam Kabinet MADANI sebelum ini atas khidmat bakti, sumbangan serta komitmen mereka dalam menjayakan agenda reformasi dan pembangunan negara,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Terdahulu, Anwar yang mengumumkan rombakan Kabinet berkata, ia dibuat agar Kabinet dapat bekerja sebagai satu pasukan, menumpukan perhatian kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih segar dan menyelesaikan masalah rakyat.
Pengumuman rombakan itu turut melibatkan beberapa Kementerian.
Antara wajah baharu antaranya Dr Mohammed Taufiq Johari diberi peranan menerajui Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Mustapha Sakmud (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Marhamah Rosli (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Lo Su Fui (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Chiew Choon Man (Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya), R Yuneswaran (Timbalan Menteri Perpaduan Negara), Sim Tze Tzin (Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri), Datuk Mohd Shahar Abdullah (Timbalan Menteri Ekonomi), Syed Ibrahim Syed Noh (Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam) dan Mordi anak Bimol (Timbalan Menteri Belia dan Sukan). – MalaysiaGazette
















