SERDANG – Kabinet baharu yang dibentuk di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan sebuah “Kabinet Bekerja” yang menggabungkan pemimpin berpengalaman dan golongan muda bagi memastikan agenda Malaysia Madani dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, Perdana Menteri menekankan keperluan penyertaan semua pihak dalam pasukan Kabinet, merangkumi pemimpin kanan dan junior, veteran serta golongan muda agar satu pasukan yang mantap dapat dibentuk bagi merealisasikan agenda perubahan yang telah digariskan sebelum ini.
“Gabungan ini penting supaya semua agenda Madani dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan, selari dengan hasrat Perdana Menteri untuk melihat perubahan sebenar dalam pentadbiran negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas Majlis Peluncuran dan Training of Trainer Perdana Kursus Mata Pelajaran Pengajian Umum di dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Zambry turut merakamkan ucapan tahniah kepada bekas timbalannya, Datuk Mustapha Sakmud yang telah dilantik sebagai menteri yang bertanggungjawab bagi Sabah dan Sarawak.
Beliau turut mengalu-alukan pelantikan Adam Adli sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, sambil menyifatkan kehadiran pemimpin muda berkenaan sebagai satu kombinasi yang baik dalam pasukan kementerian.
“Beliau mempunyai latar belakang aktivisme pelajar dan kini berada dalam kedudukan untuk membantu merangka dasar-dasar pendidikan tinggi. Saya yakin kami dapat bekerjasama dengan baik demi memastikan sistem pendidikan tinggi negara terus diperkukuh,” katanya.
Tambah Zambry, matlamat utama kementerian adalah untuk memastikan sistem pendidikan tinggi negara dapat berfungsi dengan sebaik mungkin demi kepentingan masa depan generasi muda dan pembangunan negara.
Terdahulu hari ini, Anwar mengumumkan rombakan Kabinet dengan berkata, terdapat keperluan bagi rombakan Jemaah Menteri ke arah penyesuaian supaya Kabinet dapat terus bekerja.
Menurut beliau, rombakan Kabinet itu juga supaya kerajaan menumpukan perhatian bagi menjana pertumbuhan ekonomi negara yang lebih segar serta menyelesaikan masalah rakyat. – MalaysiaGazette
















