KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melanjutkan tempoh pelaksanaan Kempen Lestari Pendidikan sehingga 31 Disember 2025 bagi memudahkan para peminjam melaksanakan bayaran balik pinjaman.
Katanya, sepanjang tempoh kempen, peminjam yang mempunyai tunggakan pinjaman boleh membuat bayaran pendahuluan 20 peratus daripada jumlah tunggakan atau sekurang- kurangnya RM500, mana yang lebih tinggi dan memohon rundingan bayaran balik melalui aplikasi web myPTPTN.
Melalui rundingan tersebut, peminjam boleh menstrukturkan semula pinjaman, melakukan pertukaran ujrah atau menggabungkan pinjaman mereka.
Dengan kaedah ini, peminjam berpeluang untuk menyusun semula jadual bayaran balik (JBB) mengikut kemampuan kewangan masing-masing.
“Rebutlah peluang sempena Kempen Lestari Pendidikan yang dilanjutkan sehingga 31 Disember 2025 ini dengan segera tanpa menunggu pada saat akhir. Komitmen bayaran balik anda amat dihargai dalam memastikan kelestarian dana pinjaman untuk generasi akan datang,” kata PTPTN dalam satu kenyataan hari ini.
PTPTN juga merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua peminjam yang telah menunaikan tanggungjawab membuat bayaran balik pinjaman, katanya.
Tambahnya, setiap ringgit yang dibayar semula membantu memberi peluang kepada lebih ramai pelajar baharu melanjutkan pengajian.
Terdahulu Kempen Lestari Pendidikan telah bermula pada 15 Oktober 2025 dan berakhir pada 15 Disember 2025.
Untuk maklumat lanjut, peminjam boleh menghubungi PTPTN melalui saluran berikut:
- Careline PTPTN di 03 – 2193 3000 (Beroperasi Isnin hingga Jumaat, jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang)
- Live Chat di portal PTPTN (ptptn.gov.my)
- E-Aduan PTPTN (https://eaduan.ptptn.gov.my/
- Eksekutif Jualan PTPTN (https://www.ptptn.gov.my/hubungi-ptptn)
- Media Sosial Rasmi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional
Selain itu, peminjam PTPTN boleh membuat bayaran balik melalui aplikasi myPTPTN pada bila-bila dan di mana sahaja dengan lebih mudah, cepat dan selamat. Untuk maklumat lanjut layari portal rasmi PTPTN di ptptn.gov.my.
-MalaysiaGazette
















