SHAH ALAM – Berselindung di sebalik aktiviti menjual kek di sebuah rumah teres, tiga warga Vietnam ditahan disyaki terlibat dalam sindiket pemalsuan cap keselamatan imigresen dalam Ops Serkap di sini semalam.
Kegiatan mereka terbongkar menerusi serbuan di Taman Sri Andalas, Klang sekitar pukul 4 petang berdasarkan aduan dan risikan selama dua minggu oleh pasukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor.

Pengarahnya, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki warga Vietnam yang juga dalang sindiket berusia antara 26 hingga 40 tahun.
“Hasil penggeledahan di lokasi, pasukan operasi menemukan tujuh naskah pasport warganegara Vietnam, beberapa kad pengenalan Vietnam, tiga cap keselamatan keluar dan masuk disyaki palsu serta lapan telefon bimbit pelbagai jenama.
“Turut disita sebuah kereta Subaru XV, wang tunai berjumlah RM2,150 termasuk peralatan seperti bahan peluntur bagi menghapuskan cap keselamatan yang lama,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Tambah Khairrul Aminus, modus operandi sindiket adalah menjual secara atas talian kepada pelanggan dan perkhidmatan makanan p-hailing digunakan bagi mengambil serta menghantar semula pasport bagi proses pemalsuan.
“Mereka menyasarkan warga asing yang ingin berada dalam tempoh lama di Malaysia dan menjual cap Pas Lawatan Sosial pada harga RM400 setiap cop dari pintu masuk negara Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar di Johor Bahru.
“Lokasi pintu masuk itu dipilih bagi mengaburi pihak berkuasa kononnya mereka masuk ke negara ini sebagai pelancong dengan menggunakan pas (cap) lawatan sosial iaitu pelancong yang masuk melalui Singapura.
“Semakan lanjut mendapati sindiket juga akan mencuci cap lama menggunakan peluntur untuk menghapuskan cap yang asal (asli) sebelum cetakan cap yang baharu bagi mengelak daripada dikesan tinggal lebih lama masa atau sebagainya,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Khairrul Aminus, kesemua suspek kini direman selama dua minggu bermula semalam di Depoh Tahanan Imigresen Semenyih bagi membantu siasatan.
Mereka akan disiasat di bawah Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 iaitu berkaitan pemalsuan atau pindaan bagi pengendorsan atau dokumen yang dipalsukan yang membawa hukuman denda sehingga RM30,000, penjara sehingga lima tahun dan enam kali sebatan.
Selain itu, mereka juga disiasat di bawah Seksyen 12(1)(a) dan Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 iaitu memalsukan pasport. – MalaysiaGazette
















