Oplus_131072

MERSING – Sebuah lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah ini pada pukul 11 pagi tadi berikutan jumlah mangsa banjir yang bertambah.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata, PPS tersebut dibuka di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chiao Ching.

Beliau memberitahu, setakat pukul 12 tengah hari, seramai 137 orang terdiri daripada 34 keluarga mangsa banjir yang dipindahkan ke dua PPS di daerah ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) itu berkata, jumlah itu meningkat sedikit daripada 120 orang (31 keluarga) pada pukul 8 pagi tadi.

“PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Air Tawar yang dibuka pada pukul 5 pagi tadi masih menempatkan 120 mangsa daripada 31 keluarga yang juga penduduk Kampung Air Tawar dan Kampung Hubong.

“PPS kedua yang baharu dibuka menempatkan 17 penduduk Kampung Air Tawar terdiri daripada tiga keluarga,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Mersing memaklumkan, PPS di SJKC Chiao Ching itu dibuka hasil pemantauan dan penilaian kawasan berisiko banjir.

Sementara itu, berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), amaran hujan lebat berterusan kategori buruk dikeluarkan ke atas empat daerah di negeri ini.

Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi dijangka menerima hujan lebat berterusan itu sehingga esok.

Amaran hujan berterusan kategori waspada dikeluarkan ke atas enam daerah lain di negeri ini, juga dijangka sehingga esok.

Dalam pada itu, sumber dari Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia pula menunjukkan terdapat 19 sub lembangan membabitkan kira-kira 10 sungai di Segamat, Tangkak, Mersing, Kluang, Batu Pahat, Johor Bahru, Muar, Pontian dan Kota Tinggi berada pada aras air bahaya, amaran dan waspada.

Cuaca di semua daerah pula dilaporkan hujan sehingga 12 tengah hari tadi, kecuali Johor Bahru, Muar, Pontian dan Kulai yang dilaporkan mendung.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast