JOHOR BAHRU – Seorang anggota bomba cedera semasa memadam kebakaran di sebuah bangunan syarikat pemborong dan pembekal di Taman Johor Jaya di sini hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Pegawai Bomba Tinggi II Mohd Salleh Mohamed berkata, anggota terbabit yang berusia 23 tahun cedera di bahu kanan.
“Anggota dari BBP Johor Jaya itu terkena serpihan plaster simen yang terjatuh atas bahu semasa melakukan kerja-kerja pemadaman di bahagian luar premis.
“Anggota terbabit diberikan rawatan awal oleh pihak Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS),” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pukul 7.21 pagi sebelum 30 anggota dari BBP Johor Jaya, Larkin, Tebrau, Mount Austin dan Ulu Tiram dikejarkan ke tempat kejadian.
Jelasnya, mereka dibantu tiga jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu EMRS, satu lori tangki, satu pacuan empat roda dan sebuah lori.
Tambah beliau, operasi masih lagi dijalankan sehingga kini.- MalaysiaGazette
















