KUALA LUMPUR – Luruan monsun yang sedang berlaku dijangka berterusan sehingga 19 Disember 2025, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMAlaysia).
Ketua Pengarah, Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, keadaan ini berpotensi membawa hujan lebat berterusan di Semenanjung serta angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan dalam tempoh tersebut.
Sehubungan itu, amaran hujan berterusan (bahaya) telah dikemas kini bagi Pahang timur, manakala amaran hujan berterusan (buruk) bagi selatan Terengganu, tengah Pahang dan timur Johor serta amaran hujan berterusan (waspada) telah dikemas kini bagi negeri Kelantan, utara Terengganu, pedalaman Pahang, barat Johor, Selangor, Kuala Lumpur, WP Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka berkuat kuasa sehingga 18 Disember 2025.
Menurutnya, amaran angin kencang dan laut bergelora berkuat kuasa sehingga 18 Disember 2025 bagi Laut China Selatan termasuk perairan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur.
Analisis terhadap model-model ramalan cuaca menunjukkan bahawa penumpuan angin dijangka berlaku di Sarawak bermula pada 21 hingga 24 Disember 2025. Keadaan ini akan menyebabkan peningkatan kelembapan yang berpotensi menghasilkan ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang dalam tempoh yang lebih panjang di kawasan tersebut.
Dalam pada itu, MetMalaysia juga mengeluarkan amaran hujan sangat lebat (bahaya) dijangka berlaku di Kuantan, Pekan dan Rompin, Pahang sehingga esok.
Manakala amaran hujan lebat berterusan (buruk) diramal berlaku di Dungun dan Kemaman, Terengganu dan Jerantut, Maran dan Bera, Pahang.
Selain itu, di Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi, Johor.
Beberapa negeri juga dijangka mengalami hujan berterusan.
Kawasan tersebut ialah seluruh negeri Kelantan; Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terenggani dan Marang; Pahang (Tanah Tinggi Cameron Highland, Lipis, Raub, Bentong dan Temerloh).
Selain itu di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor (Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai dan Johor Bahru). – MalaysiaGazette
















