KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun berdepan detik cemas apabila dilarikan penjenayah kira-kira tiga jam ketika berada di dalam kereta di Kampung Lindungan hari ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, kanak-kanak itu dilarikan ketika ibu dan bapanya memarkir kereta di tepi Jalan PJS 6/4, Kampung Lindungan untuk membeli sarapan pagi dan meninggalkan mangsa dalam kereta.
Pasangan suami isteri itu kemudian menyedari kenderaannya dilarikan pada jam 7.24 pagi.
“Pengadu telah menghubungi polis untuk bantuan dan polis melancarkan Op Tutup bagi mengesan suspek.
“Hasil dari bantuan orang awam, kenderaan itu ditemui bersama kanak-kanak di kawasan Apartment Mentari Court kira-kira tiga jam operasi dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shamsuddin berkata, kanak-kanak itu kemudian diserahkan kepada ibu dan bapanya.
Menurutnya, usaha mengesan penjenayah terbabit sedang dijalankan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung dengan Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Azman Ayob di talian 012- 2237272 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette
















