M. Kulasegaran

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran mempersoalkan mengapa kes tiga lelaki ditembak mati di Durian Tunggal, Melaka bulan lalu tidak disiasat sebagai kesalahan bunuh sejak dari awal.

Dalam masa sama, beliau turut mempersoalkan klasifikasi peruntukan yang digunakan pihak berkuasa pada peringkat awal siasatan kes tersebut dijalankan.

Bagaimanapun, beliau menyambut baik kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) semalam supaya siasatan kes tersebut diklasifikasikan semula di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan bunuh.

Jelasnya, langkah itu mencerminkan komitmen terhadap ketelusan dalam siasatan, sekali gus penting dalam memperkukuh keyakinan orang awam terhadap proses yang sewajarnya dan kedaulatan undang-undang.

“Namun, walaupun pengelasan semula kes ini dialu-alukan, kepercayaan orang ramai terhadap pihak berkuasa hanya dapat dikekalkan sekiranya siasatan dijalankan dengan pantas dan menyeluruh.

“Pihak polis mesti mempercepatkan siasatan bagi memastikan semua bukti yang relevan dapat dikumpulkan dan keterangan saksi diperoleh ketika ingatan mereka terhadap kejadian itu masih segar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, AGC memaklumkan siasatan kes tiga lelaki ditembak mati di Durian Tunggal, Melaka bulan lalu diklasifikasikan semula di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan bunuh.

Menurut jabatan itu, keputusan tersebut selepas pihaknya telah dirujuk dengan laporan kes tersebut oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sementara itu, Kulasegaran mengingatkan kaedah siasatan serta keputusan akhir kes tersebut akan membawa implikasi yang besar berhubung keyakinan orang awam terhadap profesionalisme pihak berkuasa.

Ia ujar beliau, khususnya berkenaan kesediaan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap individu yang berkuasa, serta keupayaan institusi negara melindungi hak dan maruah golongan rakyat kebanyakan.

Dalam masa sama, tambahya, keluarga mangsa yang ditembak mesti diberi jaminan dan keyakinan bahawa siasatan itu akan membawa kepada punca sebenar kejadian tersebut.

“Seperti yang ditegaskan oleh Ketua Polis Negara, tidak boleh ada sebarang kompromi apabila melibatkan salah laku dan perbuatan yang menyalahi undang-undang oleh sesiapa pun,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast