KUALA LUMPUR- Malaysia masih bebas daripada sebarang wabak penyakit Peste Des Petits Ruminants (PPR) dan sedang berusaha mendapatkan pengiktirafan status bebas PPR daripada Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH).
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) berkata, wabak yang berlaku di Vietnam baru-baru ini tidak menjangkiti manusia namun ia memberi impak ekonomi yang besar kepada industri ternakan dan keselamatan makanan berasaskan haiwan.
Wabak itu juga boleh menggugat keterjaminan bekalan makanan.
Jelasnya, penyakit tersebut menjangkiti ternakan ruminan kecil khususnya kambing serta biri-biri dan sangat mudah berjangkit melalui sentuhan langsung antara haiwan, atau melalui peralatan, makanan, dan pakaian yang tercemar.
Dengan itu, DVS menasihati para penternak agar meningkatkan tahap biosekuriti ladang dengan memastikan setiap ternakan baharu yang dibawa masuk mempunyai permit pemindahan yang sah dan telah diperiksa oleh Pegawai Veterinar bertauliah.
Penternak juga perlu mengelakkan kemasukan haiwan tanpa permit yang sah terutamanya dari negara jiran.
Mereka perlu melakukan pemantauan tanda klinikan dan segera membuat laporan jika ternakan menunjukkan simptom demam panas mendadak, lelehan mata dan hidung berlebihan serta luka atau ulser pada mulut, lidah, gusi dan bibir.
Antara tanda klinikal lain yang perlu dilapor segera adalah cirit-birit yang teruk, batuk dan kesukaran bernafas (pneumonia sekunder dalam kes teruk), kelesuan, kurang selera makan, dan lemah badan serta kematian yang boleh berlaku dalam 10 -15 hari terutamanya kambing / bebiri muda
“Walaupun Malaysia tidak mengimport sebarang ternakan ruminan mahupun produk ruminan dari Vietnam pada ketika ini, DVS sentiasa memantau situasi semasa melalui pensampelan PPR di seluruh negara.
“DVS meminta semua pihak khususnya penternak agar sentiasa mengambil perhatian terhadap perkembangan semasa kejadian penyakit haiwan dan melaporkan segera kepada DVS Negeri berhampiran atau hotline 03-8870 2041 sekiranya mengesan sebarang tanda klinikal pada haiwan ternakan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – MalaysiaGazette
















