Dr Muhammad Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Tiada keperluan untuk mempertikaikan pelantikan barisan Kabinet memandangkan ia disifatkan sebagai `baju’ yang akan dipakai perdana menteri untuk memimpin.

Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, sekiranya menteri yang dilantik tidak berkualiti dan gagal bekerja, maka rakyat sendiri akan menghukum dengan tidak mengundi parti yang diwakilinya pada pilihan raya.

“Jika sebelum jadi menteri janji bulan dan bintang, maka dah jadi menteri jangan lupa pula janji yang dah ditaburkan dulu masa tiada jawatan.

“Rakyat bukan tidak pandai menilai,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, Muhamad Akmal berkata, lantikan menteri juga merupakan hak perogatif Perdana Menteri yang bermaksud beliau boleh melantik sesiapa sahaja yang dirasakan layak, termasuk mereka yang bukan wakil rakyat.

Dalam erti kata lain, tambah beliau, menteri yang dilantik itu adalah lambang air muka dan visi Perdana Menteri.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan kepada menteri yang dilantik bahawa kini bukan masanya untuk bersuka ria dan membuat kenyataan `bodoh’ yang boleh menyinggung perasaan dan sensitiviti rakyat, sebaliknya merupakan masa bekerja untuk rakyat.

“Dan ingat, negara ini ada undang-undang dan Perlembagaan yang perlu dipatuhi, bukan bila dah jadi menteri semua kamu nak langgar.

“Jika tidak, pasti ini lah sepenggal kamu jadi menteri!!” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast