BATU PAHAT – Perbezaan pendapat tidak seharusnya menjadikan hak untuk menjadi biadap dan kebebasan bersuara tidak pernah menjadi lesen untuk menghina serta menghasut.
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Dr Mohammad Aswad Ithnain berkata, sekiranya dibiarkan dibimbangi menganggu keharmonian masyarakat berbilang kaum.
Justeru beliau meminta semua individu agar dapat lebih sopan dan bertanggungjawab ketika mengeluarkan kenyataan dalam media sosial terutama membabitkan institusi diraja.
“Kritikan sememangnya boleh diraikan dalam negara ini yang mengamalkan proses demokrasi namun kebebasan berkenaan tidak sepatutnya disalah guna.
“Susulan itu kami (Pemuda Johor) kesal dengan tindakan pemilik akaun media sosial di mana individu terbabit yang dikenali sebagai Fahmi Reza yang mengeluarkan kenyataan yang berbaur hasutan dan provokasi terhadap Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
“Kami juga telah membuat membuat laporan polis berhubung kes berkenaan agar ada tindakan susulan daripada pihak berkuasa sekali gus dapat dijadikan pengajaran apabila mengeluarkan pandangan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Pemuda UMNO Johor, Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida), Ladies Bikers, Skuad Muafakat 4All dan Persatuan Kebajikan Kucing Merah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat di sini hari ini.
Jelas Mohammad Aswad lagi, institusi raja berperlembagaan bukanlah simbol kosong tetapi ia adalah tiang seri yang menyatukan rakyat, menjaga keseimbangan kuasa serta menjadi payung kepada kestabilan.
Sementara itu, Pengerusi Pekida Daerah Batu Pahat, Ahmad Ibrahim Noor Mohamed berkata, pihaknya turut menyatakan pandangan yang sama dengan Pemuda Johor.
Beliau berkata, kenyataan yang bersifat menghina, mencabar atau menghasut terhadap institusi Diraja adalah sesuatu yang tidak boleh diterima, sekali gus perlu ada tindakan dan dikhuatiri mampu mencetuskan kebencian serta perpecahan.
“Kami memandang serius perbuatan tersebut kerana ia mampu menjejaskan kestabilan dan perlu berhemah dalam mengeluarkan sindiran kerana dibimbangi berubah menjadi penghinaan yang melangkaui adab dan budaya kita,” katanya.
Terdahulu, aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza membuat hantaran tersebut berkenaan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail dengan tulisan yang berbentuk provokasi:
“Apa masalah TMJ ni sebenarnya? Kenapa nampak seolah-olah dia boleh bertindak sesuka hati dan buat apa sahaja yang dia suka tanpa sebarang had, sempadan atau akauntabiliti yang jelas, tanpa batasan undang-undang?” soalnya.
Hantaran tersebut mendapat teguran dan tidak kurang juga netizen yang menyokong dakwaan Fahmi. – MalaysiaGazette
















