KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) akan melakukan rundingan dengan pemimpin parti-parti tempatan di Sabah sebelum menghadapi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak berhasrat meletakkan calon dalam pilihan raya kali ini, namun BN perlu melakukan rundingan dengan rakan-rakannya di Sabah.
“Saya berterima kasih kerana Yang Amat Berhormat Datuk Seri Hajiji Noor memberikan semacam pengabsahan bahawa GRS tidak akan bertanding dalam PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag.
“Namun kita sedang mengadakan perundingan dengan beberapa rakan daripada parti-parti tempatan di Sabah.
“Saya harap perbincangan itu akan memberikan keberhasilan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) ketiga di sini, hari ini.
Selasa lalu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun mengumumkan 24 Januari 2026 sebagai tarikh mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK), Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.
PRK kerusi P187 Kinabatangan dan N58 Lamag diadakan susulan penyandangnya, Allahyarham Datuk Bung Moktar meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, Sabah jam 1.46 pagi, 5 Disember lalu.
SPR juga menetapkan Hari Penamaan Calon pada 10 Januari, manakala tarikh mengundi awal pula akan diadakan pada 20 Januari.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, rundingan itu perlu dilakukan untuk memberi ketenteraman kepada pengundi-pengundi di Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag.
“Ini kerana pengundi-pengundi di Sabah terlalu letih apabila pilihan raya diadakan sekali lagi, sedangkan baru selesai PRN Sabah ke-17 pada 29 November lalu,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid memberi gambaran Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) mungkin diadakan selewat-lewatnya 24 bulan dari sekarang.
“Jadi akan ada pilihan raya sekali lagi, saya harap pertimbangan-pertimbangan melalui perundingan itu akan dapat diterima oleh rakan-rakan tanpa mengira parti politik atau latar belakang sama ada seseorang itu akan menjadi calon bebas dan sebagainya.
“Perkara ini harus diberikan pertimbangan oleh semua pihak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















