Longgokan kabel ini dipercayai hasil aktiviti kecurian.

KUALA LUMPUR – Sejak 2023 hingga kini, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengalami kerugian mencecah RM20.6 juta akibat kecurian kabel.

Prasarana berkata, setakat ini bagi tahun 2025, jumlah tersebut meningkat kepada 69 kes berbanding 41 kes tahun lalu, kenaikan sebanyak 68 peratus.

Menurutnya, syarikat itu memandang serius insiden kecurian kabel yang kerap menjejaskan operasi perkhidmatan rel serta memberi kesan langsung kepada jutaan pengguna pengangkutan awam di Lembah Klang.

Dakwa Prasarana, peningkatan ini didorong oleh permintaan dan harga pasaran kabel, khususnya tembaga, yang semakin tinggi dan menjadikan jenayah ini lebih menguntungkan kepada sindiket.

Katanya, kesan sebenar isu ini melangkaui kerugian kewangan semata-mata, malah ia turut menyebabkan gangguan perkhidmatan, kelewatan perjalanan serta menimbulkan risiko keselamatan kepada pengguna pengangkutan awam yang tidak boleh dipandang ringan.

Ketua Pegawai Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti, Alam Sekitar & Pembangunan Lestari Kumpulan Prasarana, Idzqandar Abu Bakar berkata, kecurian kabel bukan sekadar isu kerugian kewangan, tetapi melibatkan keselamatan operasi dan memberi kesan langsung kepada jutaan penumpang yang bergantung kepada perkhidmatan rel setiap hari.

“Setiap insiden kecurian menyebabkan operasi perkhidmatan terjejas kerana tren tidak dapat beroperasi seperti biasa. Kerja-kerja pembaikan serta penggantian kabel perlu dilaksanakan dengan segera bagi memulihkan sistem kritikal dan memastikan perkhidmatan dapat kembali berjalan secara normal. Dalam situasi ini, penumpanglah yang paling terkesan.

“Isu kecurian kabel yang semakin membimbangkan ini bukan sahaja melibatkan operasi perkhidmatan rel kendalian Prasarana, malah turut menjejaskan operator rel lain serta syarikat telekomunikasi. Ia jelas menunjukkan bahawa jenayah ini bersifat berulang, terancang dan memberi implikasi luas terhadap infrastruktur kritikal negara,” katanya.

Beliau berkata, syarikat telah melaksanakan pelbagai langkah pencegahan secara berterusan, daripada penempatan anggota keselamatan, rondaan bersama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), pemasangan CCTV berteknologi tinggi, sehinggalah kepada pengujian penggunaan anjing pengesan di Laluan Kajang dan Laluan Putrajaya.

Syarikat juga telah bekerjasama dengan Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) bagi memperkukuh ciri keselamatan fizikal di lokasi-lokasi tertentu.

“Namun realitinya, dengan jajaran rel yang melebihi 200 kilometer, kami tidak boleh menanganinya secara bersendirian tanpa sokongan ekosistem penguatkuasaan dan kawal selia yang lebih menyeluruh,” kata Idzqandar lagi.

Walaupun semua langkah mitigasi ini telah dan sedang dilaksanakan, kejadian kecurian masih berterusan, malah terdapat kes yang melibatkan individu yang sama berulang kali, tambahnya.

Prasarana menegaskan, selagi sindiket jenayah ini masih mempunyai ruang untuk menjual kabel secara terbuka dan meraih keuntungan yang besar, selagi itulah kes kecurian
kabel akan terus berulang.

Keadaan ini, katanya, menuntut pendekatan nasional yang lebih tegas dan bersepadu, termasuk kawal selia lebih ketat terhadap rantaian penjualan kabel serta hukuman yang lebih berat terhadap pesalah berulang.

Sehubungan itu, Prasarana menyeru kerjasama semua pihak berkepentingan, termasuk agensi penguatkuasa, penggubal undang-undang, pemain industri dan orang awam untuk berganding bahu dalam menangani isu ini secara kolektif.

Malah, orang ramai turut digalakkan untuk segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan, khususnya di kawasan jajaran rel, kepada pihak polis bagi membolehkan tindakan pantas dan berkesan diambil.

“Isu kecurian kabel ini bukan sekadar melibatkan kerosakan atau kehilangan aset fizikal, tetapi memberi kesan langsung terhadap keselamatan operasi, kebolehpercayaan perkhidmatan dan hak jutaan rakyat yang bergantung kepada pengangkutan awam setiap hari.

“Menanganinya memerlukan komitmen dan tindakan bersama semua pihak. Keselamatan, kebolehpercayaan dan tahap kepercayaan pengguna terhadap system pengangkutan awam bergantung kepada keupayaan membanteras jenayah ini secara kolektif dan berkesan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast