KUALA LUMPUR – Aliran trafik di lebuh raya utama hari ini dijangka meningkat khususnya ke Pantai Timur, utara dan selatan sempena sambutan Hari Krismas dengan anggaran 2.6 juta kenderaan sehari pada hari puncak.
Ketua Pengarah LLM, Datuk Ir. Sazali Harun berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 2.2 juta kenderaan dijangka menggunakan lebuh raya di bawah Kumpulan PLUS, manakala Lebuhraya KL–Karak dianggarkan merekodkan 186,000 kenderaan sehari.
Selain itu, masing-masing 69,200 kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), 33,200 kenderaan di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) dan 144,600 kenderaan di Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE).
Bagi mendepani peningkatan trafik tersebut, LLM telah mengarahkan semua syarikat konsesi lebuh raya membuat persediaan rapi bagi memastikan perjalanan pengguna lebuh raya berjalan dengan selamat dan lancar sepanjang tempoh perayaan dari 19 hingga 28 Disember 2025.
“Antara langkah proaktif yang diambil termasuk memastikan tiada penutupan lorong dilakukan oleh syarikat konsesi kecuali bagi kerja kecemasan dalam tempoh berkenaan.
“Selain itu, laluan ‘smart lane’ akan diaktifkan di 30 lokasi yang dikenal pasti di Lebuhraya PLUS bagi melancarkan aliran trafik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Sazali lagi, LLM turut mengarahkan syarikat konsesi lebuh raya utama memastikan sistem kutipan tol berfungsi dengan baik bagi mengelakkan kesesakan di plaza tol, selain melaksanakan kutipan tol berlapis di beberapa plaza tol yang dikenal pasti mempunyai trafik tinggi.
Pada masa sama beliau berkata, syarikat konsesi diingatkan agar memastikan pengoperasian lebuh raya berada dalam keadaan terbaik, termasuk memastikan semua kemudahan di kawasan rehat dan rawat (R&R) serta hentian sebelah berfungsi dengan sempurna demi keselesaan dan keselamatan pengguna.
“Bagi menampung keperluan pengguna semasa musim perayaan, kemudahan tambahan parkir dan tandas sementara jenis mudah alih serta kabin akan disediakan.
“Bilangan petugas juga akan ditambah bagi memastikan kebersihan tandas dan kecukupan bekalan air. Pengguna dinasihatkan untuk meneruskan perjalanan dan singgah di R&R, hentian sebelah atau plaza tol seterusnya sekiranya lokasi semasa terlalu sesak,” jelasnya.
Katanya lagi, LLM turut memberi jaminan bekalan minyak di stesen-stesen minyak sepanjang lebuh raya adalah mencukupi dengan kerjasama pengusaha stesen dan syarikat pembekal minyak.
LLM menasihatkan pengguna lebuh raya agar merancang perjalanan dengan merujuk kepada aplikasi TuJu Highway Navigation App LLM dan Travel Time Advisory (TTA), selain memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan serta baki kad Touch n Go, e-dompet dan kad debit mencukupi.
Sazali menambah, pengguna yang melalui jajaran ‘smart lane’ dibenarkan menggunakan lorong kecemasan sebagai laluan alternatif ketika kesesakan dan diminta mematuhi papan tanda lalu lintas yang disediakan.
Beliau mengingatkan, penunggang motosikal supaya sentiasa fokus, peka terhadap pengaktifan ‘smart lane’ dan berhenti berteduh di tempat letak motosikal berbumbung yang disediakan apabila cuaca buruk.
Sebanyak 571 lokasi tempat letak motosikal berbumbung disediakan di sepanjang lebuh raya.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan trafik dan sebarang insiden melalui media sosial rasmi LLM dan syarikat konsesi seperti Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia, aplikasi X @llmtrafik, TikTok @llmtrafik atau menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752.
Maklumat trafik semasa melalui paparan CCTV juga boleh diakses menerusi laman sesawang rasmi LLM. – MalaysiaGazette
















