KUANTAN – Seramai 13,479 individu daripada 4,434 keluarga masih terkesan akibat banjir di enam daerah Pahang setakat jam 8 pagi ini.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Pahang, kesemua mereka masih ditempatkan di 81 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Kuantan masih merekodkan jumlah mangsa banjir paling ramai iaitu 11,128 individu daripada 3,709 keluarga yang ditempatkan di 46 PPS dan angka itu meningkat berbanding tengah malam tadi.
Daerah Pekan juga menunjukkan peningkatan jumlah mangsa banjir iaitu 924 mangsa daripada 319 keluarga terjejas akibat banjir yang ditempatkan di 11 buah PPS.
Di Maran pula, 916 mangsa banjir daripada 250 keluarga kekal berada di 11 buah PPS; begitu juga di daerah Rompin iaitu 454 mangsa daripada 138 keluarga kekal di lapan buah PPS.
Manakala di Jerantut pula merekodkan peningkatan jumlah mangsa banjir iaitu 52 individu daripada 16 keluarga berbanding 35 individu daripada 13 keluarga sebelum ini yang ditempatkan di empat buah PPS.
Di daerah Kuala Lipis, seramai 5 individu daripada dua buah keluarga masih ditempatkan di sebuah PPS yang masih dibuka ekoran kejadian banjir.
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan sebanyak 12 buah sungai di tujuh buah daerah berada pada paras bahaya setakat jam 8 pagi tadi.
Katanya, Kuantan mencatatkan lima sungai iaitu Lembangan Sungai Kuantan di Kuantan ByPass, Pasir Kemudi, Sungai Belat, Sungai Soi dan Sungai Kuantan.
Daerah Jerantut pula membabitkan Lembangan Sungai Pahang di Sungai Tembeling, manakala di Rompin melibatkan Lembangan Sungai Rompin.
Lembangan Sungai Pahang di Sungai Jelai, Lipis turut merekodkan bacaan pada paras bahaya, begitu juga di Maran iaitu Sungai Luit, Pekan di Sungai Mentiga dan Bera di Waterfront. – MalaysiaGazette
















