Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Muhamad Hisham Marzuki.

KUALA LUMPUR – Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) mengecam dan membantah tindakan individu yang menggelar diri coach cerai kerana ia mengelirukan dan menjejaskan proses rundingan juga perdamaian pasangan suami isteri yang berdepan dengan kemelut rumah tangga.

Selain menegaskan kewujudannya tidak relevan, Presiden PPMM, Hisham Marzuki berpendirian, individu berkenaan tidak pernah mendapat pentauliahan atau lantikan rasmi daripada mana-mana pihak berautoriti untuk memberikan nasihat tentang isu perceraian.

Sebaliknya, beliau berkata, dalam urusan proses perceraian mahkamah syariah menetapkan prosedur yang perlu dilalui pasangan suami isteri termasuklah Jawatankuasa Pendamai (JKP).

“Dengan ada coach cerai, ia boleh mendedahkan pasangan kepada nasihat atau tindakan yang boleh menjejaskan ruang perdamaian (jika ada) .

“Nama yang diberikan juga adalah coach cerai, jadi semestinya matlamat yang perlu dicapai ialah ke arah perceraian yang makruh disisi syarak. Malah nasihat yang diberikan juga adalah yang tidak kompeten seperti peguam syarie,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menurut Hisham, JKP telah dilantik oleh Hakim Mahkamah Syariah untuk menjalankan prosedur perceraian secara berperingkat.

Sebagai info, fungsi utama JKP adalah untuk mendamaikan pasangan suami isteri yang ingin bercerai.

Antara proses perlu dilalui adalah sesi rundingan, bimbingan dan mencari penyelesaian terbaik berdasarkan ajaran Islam serta membantu menyelesaikan isu-isu berkait seperti nafkah dan penjagaan anak sebelum kes diserahkan kembali ke Mahkamah Syariah.

Ia turut bertindak sebagai perantaraan penting sebelum perceraian diisytiharkan dengan tujuan mengurangkan konflik dan menggalakkan keharmonian keluarga.

JKP juga diwujudkan bagi mengelakkan perceraian jika sebuah rumah tangga masih boleh diselamatkan selaras dengan prinsip Islam yang menggalakkan perpaduan keluarga.

Namun, jika perceraian tidak dapat dielak, JKP perlu memastikan pasangan berpisah dengan cara yang paling harmoni dan adil untuk semua pihak terutamanya anak-anak.

Mengulas lanjut, Hisham berkata, lazimnya pasangan yang berdepan dengan masalah rumah tangga khususnya dalam proses penceraian sepatutnya mengikut nasihat peguam syariah sebagai individu yang lebih pakar dan arif dalam urusan berkenaan.

“Pihak yang telah melantik peguam syarie perlu memberi kepercayaan penuh kepada peguam syarie untuk mengendalikan kes tanpa melantik coach cerai kerana peguam syarie lebih mengetahui nasihat terbaik untuk anak guam mengikut situasi kes,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, beliau turut menyatakan Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Peguam Syarie Wilayah Persekutuan yang berlangsung 7 November lalu sebulat suara meluluskan usul mencegah dan mengawal tindakan individu tidak bertauliah memberi nasihat perundangan, isu kekeluargaan dan hukum syarak.

Katanya, usul tersebut disuarakan oleh salah seorang peguam syarie yang berpendirian coach cerai tidak mempunyai kelayakan akademik, tauliah atau lesen khidmat nasihat dan rundingan di mahkamah syariah.

Terdahulu, berdasarkan hantaran di TikTok, seorang lelaki yang menggelarkan dirinya sebagai coach cerai mendakwa apa yang dilakukannya diiktiraf di peringkat antarabangsa dan negara luar.

Lelaki itu mendakwa menjalankan tugas untuk memberi bimbingan selepas penceraian termasuk prosessnya berdasarkan keperluan semasa.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Last sekali Coach cerai ambil kesempatan dan peluang kononnya demi pendamaian..jadi pepatah…HARAPKAN PEGAR, PEGAR MAKAN PADI.

Comments are closed.