KUALA LUMPUR – Perdana Menteri menyambut baik penilaian Pasukan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) terhadap ekonomi Malaysia.
Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata, dalam keadaan dunia yang semakin mencabar, keutamaan kita kini terus tertumpu pada usaha memastikan kestabilan ekonomi, katanya dalam kenyataan.
Ia, kata Anawar, tidak hanya diterjemah dengan bertanggungjawab malah mesti dirasai rakyat, melalui sektor dan peluang pekerjaan yang terjamin serta adil dan keyakinan yang tinggi terhadap masa depan.
Hari ini, IMF dalam kenyataan menyifarkan Malaysia pamer daya tahan ekonomi kental tahun ini meskipun berdepan ketegangan dan ketidakpastian dasar perdagangan global, disokong penggunaan dan pelaburan domestik, peningkatan pekerjaan dan kitaran kukuh sektor teknologi global.
Ketua Pasukan IMF bagi Malaysia, Masahiro Nozaki berkata, prestasi teguh itu sebahagian mencerminkan dasar kukuh ekonomi negara dengan pihak berkuasa mengekalkan dasar makroekonomi dan kewangan yang berhemat.
Menurut IMF, perjanjian perdagangan Malaysia-Amerika Syarikat (AS) pada Oktober 2025 membantu mengurangkan ketidakpastian terhadap perniagaan dan pengguna di Malaysia.
“Daya tahan ekonomi Malaysia dijangka berterusan dalam tempoh terdekat ini, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh.
“IMF mengunjurkan pertumbuhan akan perlahan sedikit daripada 4.6% pada 2025 kepada 4.3% pada 2026, mencerminkan kesan tarif tinggi AS ke atas Malaysia,” katanya menurut kenyataan memetik Bernama.
Menurutnya, pertumbuhan berdepan risiko negatif berpunca terutamanya daripada faktor luaran.
“Sebagai sebuah ekonomi yang sangat terbuka, kelembapan permintaan luaran boleh menjejaskan Malaysia sekiranya berlaku peningkatan langkah-langkah perlindungan, turun naik pasaran kewangan global dan potensi penurunan ledakan Kecerdasan Buatan (AI),” katanya.
Bagaimanapun, terdapat juga kemungkinan berlakunya peningkatan positif termasuk kejayaan dalam rundingan perdagangan global, aktiviti pelancongan yang lebih kukuh daripada dijangkakan dan pelaksanaan pembaharuan struktur yang lebih pantas.
“Komitmen Malaysia terhadap pengurusan fiskal yang berhemat dapat dilihat melalui kelulusan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal yang penting pada 2023 dan pengurangan defisit fiskal yang stabil sejak 2022,” kata Nozaki.
Beliau berkata IMF menyambut baik rancangan pihak berkuasa mengurangkan lagi defisit fiskal kepada 3.5% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2026 dan kepada 3% menjelang 2028.
Menurutnya, usaha berterusan membina semula penampan fiskal melalui langkah-langkah perbelanjaan dan hasil yang mampan dan berkualiti tinggi kekal penting memandangkan hutang kerajaan persekutuan yang berada pada 64.6% daripada KDNK pada akhir 2024 masih melebihi paras prapandemik. – MalaysiaGazette
















