KUALA LUMPUR – Seramai 12,113 mangsa daripada 3,966 keluarga masih ditempatkan di 84 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat negeri, setakat 8 pagi ini.
Jumlah itu menurun berbanding 14,000 mangsa yang direkodkan petang semalam.
Berdasarkan maklumat Info Bencana Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM), Pahang terus mencatatkan jumlah mangsa yang tertinggi, iaitu 11,046 mangsa daripada 3,641 keluarga.
Mereka ditempatkan di 68 PPS di lapan daerah, dengan tertinggi di Kuantan, iaitu 44 PPS, Pekan (10), Jerantut (empat), Rompin (tiga), Temerloh (tiga) Maran (dua), Bera (satu) dan Lipis (satu).
Di Terengganu, seramai 634 mangsa membabitkan 209 keluarga ditempatkan di sembilan PPS di dua daerah, iaitu Kemaman dan Dungun.
Di Johor, seramai 356 mangsa daripada 93 keluarga ditempatkan di tiga PPS di Mersing, manakala empat PPS di Kelantan menempatkan 77 mangsa daripada 23 keluarga. -MalaysiaGazette
















