KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan mayat seorang wanita yang terapung di dalam sungai berhampiran Kondominium Rivercity, Jalan Ipoh, di sini, pada 18 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, laporan mengenai kejadian itu diterima pada jam 11.37 pagi selepas orang awam memaklumkan terlihat satu mayat terapung di sungai berkenaan.
Menurut beliau, ketika anggota polis tiba di lokasi kira-kira jam 12 tengah hari, mayat tersebut telah tiada dan dipercayai dihanyutkan arus ke arah Sungai Gombak.
Katanya, mayat wanita itu kemudiannya ditemui oleh anggota Balai Polis Chow Kit di dalam sungai berhampiran Sunway Putra Mall, Jalan Putra, sebelum dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.
Beliau berkata, mangsa dikenal pasti sebagai seorang wanita Melayu berusia 36 tahun, tidak bekerja dan menetap di kawasan Chow Kit di sini.
“Siasatan awal mendapati si mati keluar dari rumah sejak 17 Disember lalu dan tidak pulang sehingga mayatnya ditemui,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Sukarno, mangsa dilaporkan tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan sebelum ini, namun dipercayai mengalami kemurungan selepas teman lelakinya dipenjarakan atas kes berkaitan dadah.
Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih dijalankan. -MalaysiaGazette















