KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan tahniah kepada kontinjen Malaysia di atas kejayaan meraih 231 pingat secara keseluruhan pada temasya Sukan SEA 2025.
Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa bangga terhadap semangat juang dan komitmen tinggi dipamerkan oleh para atlet negara sepanjang berlangsungnya Sukan SEA 2025.
Seri Paduka Baginda turut berkenan menzahirkan penghargaan kepada Majlis Sukan Negara (MSN), barisan jurulatih, pegawai-pegawai serta semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam memastikan kejayaan kontinjen negara.
“Pencapaian ini juga menjadi pemangkin kepada kecemerlangan sukan negara serta inspirasi kepada generasi muda untuk terus mengorak langkah mencapai kejayaan di peringkat lebih tinggi,” titah Seri Paduka Baginda seperti yang dimuat naik menerusi laman sosial Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.
Malaysia mempamerkan prestasi membanggakan dalam penganjuran Sukan SEA 2025 di Thailand yang melabuhkan tirainya semalam dengan menutip 57 pingat emas, 57 perak dan 117 gangsa, sekali gus menutup kempen dengan 231 pingat secara keseluruhan.
Kutipan pingat itu melepasi sasaran 200 pingat ditetapkan sebelum ini, selain mencipta sejarah baharu dengan kutipan tertinggi pingat secara keseluruhan pada Sukan SEA di luar Kuala Lumpur, mengatasi rekod 216 pingat dicatat pada edisi 2007 di Korat, Thailand.
Malah, kutipan 57 pingat emas pada temasya Sukan SEA kali ini juga merupakan pencapaian terbaik negara dalam tempoh enam tahun selepas mengutip 55 pingat emas pada Sukan SEA 2019 di Filipina. – MalaysiaGazette
















